Syed Saddiq umum Rabu ini

PETALING JAYA 30 Okt. –  Penyandang kerusi Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan membuat pengumuman Rabu ini sama ada akan mempertahankan kerusi itu atau sebaliknya.

Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), itu berkata beliau menghormati institusi kehakiman dan kini diberi ruang untuk membela diri.

“Status saya, nantikan pengumuman pada Rabu ini. Apa yang penting saya menghormati institusi kehakiman. Malah saya sudah menyarankan kepada semua penyokong MUDA supaya turut menghormati institusi kehakiman negara,” katanya.

Syed Saddiq berkata demikian ketika ditanya mengenai saranan pelbagai pihak supaya tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana sedang berdepan pertuduhan kes mahkamah.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, beliau akan terus berjuang dan tidak akan membazirkan peluang yang diberikan untuk membela diri.

“Saya berani kerana benar, akan terus berjuang demi kebenaran, institusi kehakiman sudah memberikan peluang kepada saya untuk bela diri. Saya tak akan membazirkan peluang,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini memerintahkan Syed Saddiq membela diri atas empat pertuduhan, termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Presiden MUDA yang juga bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu itu.

Related posts

Leave a Comment