Tiga anak muda MUDA cabar “otai”

PETALING JAYA 30 Okt. – Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menamakan tiga calon parti itu yang akan bertanding di tiga kerusi Parlimen di Pulau Pinang, Selangor dan Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mereka adalah Danial Abdul Majeed, yang akan bertanding di Parlimen Kepala Batas, Siti Rahayu Baharin (Tanjung Karang) dan Lim Wei Jiet (Tanjung Piai).

Semua calon berkenaan diumumkan oleh Timbalan Presiden yang juga Pengarah Pilihan Raya MUDA, Amira Aisya Abd Aziz.

Untuk rekod penyandang kerusi Parlimen Kepala Batas adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican, di Tanjung Karang  Noh Omar  yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi manakala di Tanjung Piai Dr Wee Jeck Seng yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II.

Amira Aisya berkata, ada beberapa lagi kerusi yang akan ditandingi parti itu pada PRU15 dan pengumuman akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Katanya, semua kerusi yang bakal ditandingi MUDA adalah kawasan di luar bandar.

“MUDA akan bertanding, tidak ada satu pun kerusi bandar, tidak ada satu pun kerusi mudah, semua kerusi yang kita akan tandingi bakal membabitkan pertembungan dengan penyandang berstatus menteri.

“Semuanya kerusi ‘gergasi’, namun kita tidak gentar dan akan berlawan untuk memastikan kemenangan MUDA,” katanya pada sidang media selepas pengumuman calon parti itu malam tadi.

Mengulas mengenai tiga calon MUDA yang diumumkan, beliau berkata, semua mereka adalah golongan profesional dalam bidang masing-masing.

Katanya, Danial, calon kerusi Kepala Batas adalah seorang anak jati Pulau Pinang berusia 26 tahun dan juga seorang jurutera.

Siti Rahayu, calon di Tanjung Karang pula seorang guru dan ibu tunggal berusia 41 tahun selain aktivis pendidikan manakala Wei Jiet calon kerusi Tanjung Piai adalah seorang peguam berusia 31 tahun dan aktivis hak asasi manusia.

Amira Aisha berkata, ada beberapa lagi kerusi yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat, termasuk di Sabah yang akan diumumkannya pada Isnin ini.

Beliau berkata, parti itu juga akan menggunakan logonya sendiri pada PRU15 serta berkongsi manifesto dengan Pakatan Harapan (PH).

 

Gambar: Dari kiri Danial Abdul Majeed, Syed Saddiq Abdul Rahman, Lim Wei Jiet dan Siti Rahayu Baharin.

Related posts

Leave a Comment