Pemimpin lama undur beri laluan orang baharu

BANGI 29 Okt. – Tidak semua pemimpin lama boleh dikekalkan kerana mereka juga perlu memberi laluan kepada generasi baharu untuk memimpin, kata Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Beliau juga mengingatkan, tidak semua perjuangan dalam politik perlu melalui jalur pilihan raya sebaliknya sumbangan tokoh lama dalam parti amat diperlukan untuk membimbing generasi muda.

“Jika kita kekalkan semua orang yang memberi sumbangan, generasi baharu tidak akan bangkit. Ada ketikanya digugurkan atas faktor kesihatan dan sudah lama berkhidmat.

Kita sedar, orang yang berkhidmat dengan baik sekian lama, ada ketikanya harus dipindahkan atau diganti.

“Mereka ini sahabat saya tapi kalau kita kekalkan, generasi baharu ini tidak ada tempat. Ketua Wanita, Rodziah Ismail dan Ketua Angkatan Muda, Adam Adli, mereka ini kena tunggu 20 tahun lagilah (untuk bertanding),” katanya.

Anwar mengulas pengguguran beberapa pemimpin lama PKR untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas merasmikan Muktamar Nasional Ke-16 Wadah Kecerdasan Umat Malaysia (Wadah), Seminar Penghargaan Allamah Dr Yusof Al Qaradhawi dan Perjuangan Nahdah Umat: Aspirasi Membina Masa Depan Malaysia di sini, hari ini.

Anwar diminta mengulas kenyataan bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua, yang dilapor memberi amaran langkah parti itu menggugurkan beberapa Ahli Parlimen menjelang PRU15 boleh menjejaskan parti.

Bekas Ahli Parlimen Batu itu mendakwa, ramai yang kecewa dengan keputusan pimpinan parti di beberapa kerusi selepas pengumuman 72 calon PKR di Semenanjung,

Selain Tian Chua, nama lain yang turut digugurkan ialah penyandang Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah; R.Sivarasa (Sungai Buloh), Dr Lee Boon Chye (Gopeng), Natrah Ismail (Sekijang), June Leow (Hulu Selangor), Tan Yee Kiew (Wangsa Maju), Chan Ming Kai ( Alor Setar) dan Johari Abdul (Sungai Petani).

Bagi Johari, anaknya Dr Mohamed Taufiq Johari, 26.akan mengisi kekosongan berkenaan.

Gambar : Atas dari kiri Johari Abdul, R.Sivarasa, Dr Lee Boon Chye ; bawah dari kiri Maria Chin Abdullah, Natrah Ismail dan June Leow

Related posts

Leave a Comment