Calon: Tian Cua dakwa ramai kecewa

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua, yang tidak tersenarai kali ini mendakwa ramai pihak yang kecewa dengan senarai calon yang diumumkan oleh kepemimpinan parti itu malam tadi.

Beliau berkata pemilihan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seharusnya lebih inklusif bagi menggambarkan kepelbagaian dalam parti itu.

“Memandangkan saya bukan lagi sebahagian kepemimpinan parti pada masa ini, saya tidak tahu proses terperinci mengenai pemilihan calon. Sudah tentu, pemilihan ini tidak akan memuaskan hati semua orang. Ia boleh difahami.

Selepas pengumuman, ramai orang kecewa dengan sesetengah pemilihan calon,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Chua berkata, keputusan parti membuat percaturan dengan merombak calon untuk bertukar tempat, bukan saja merugikan akar umbi parti, tapi juga mengecewakan pengundi setia mereka.

“Apabila Ahli Parlimen dan kerusi dirombak seperti bermain terup, ia bukan sahaja merugikan akar umbi parti, malah mengecewakan pengundi yang setia menyokong kita.

“Ketika kita bergerak untuk menyerang pihak lawan, kita juga mesti berjaga-jaga supaya tidak kehilangan kubu kita. Ahli Parlimen bukan kelas istimewa, tetapi hamba rakyat. Sebagai Ahli Parlimen, kita hidup dalam kalangan pengundi dan masyarakat adalah sebahagian daripada kehidupan kita,” katanya.

Malam tadi, Chua tersisih daripada bertanding di Parlimen Batu, apabila kerusi terbabit akan dipertahankan penyandangnya, P Prabakaran, yang dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi itu dalam PRU15 ini.

Pada PRU14 lalu, Chua tidak layak bertanding di Parlimen Batu ekoran sabitan satu kes mahkamah pada 2013 yang menyebabkan PKR dan PH ketika itu terpaksa mengalihkan gerak kerja sokongannya kepada P.Prabakaran yang bertanding sebagai calon Bebas.

Selepas menang, Prabakaran menyertai PKR dan kali ini beliau dinamakan sebagai calon PH bagi kerusi yang sama.

Related posts

Leave a Comment