GTA umum lapan calon Pejuang

PUTRAJAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) hari ini mengumumkan lapan calon dari Parti Pejuang Tanah air (Pejuang) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Pengerusi Penaja GTA, Dr Mahathir Mohamad, berkata selain beliau yang akan mempertahankan kerusi Langkawi, turut mempertahankan kerusi masing-masing adalah Mukhriz Mahathir di Jerlun dan Amiruddin Hamzah di Kubang Pasu.

GTA juga meletakkan Ketua Pejuanita, Che Asmah Ibrahim di Sepang; Mior Nor Haidir Suhaimi di Tapah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Harumaini Omar  di Hulu Selangor; ADUN Jeram Mohd Shaid Rosli di Kuala Selangor manakala Khairuddin Abu Hassan akan bertanding di Titiwangsa.

“Kita sudah tentukan beberapa kawasan yang kita tetapkan siapa yang akan bertanding. Lapan nama yang sudah ditetapkan daripada Pejuang bertanding sebagai GTA,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pejuang di sini, hari ini.

Turut hadir Mukhriz yang juga Presiden Pejuang dan Timbalannya,  Marzuki Yahya

Beliau berkata, GTA sudah mengenal pasti lebih 100 kawasan yang akan ditandingi dan belum menentukan kawasan bakal ditandingi di Johor dan Sabah.

“Kalau kita dapat nama dari Johor dan Sabah kemungkinan kita akan bertanding lebih 120 kerusi.

“Rundingan dengan Perikatan Nasional (PN) masih berjalan kerana masih ada masalah yang belum diputuskan. Kalau nak ada kerjasama dengan PN kita harap semua yang lapan ini (nama calon yang diumumkan hari ini) akan diterima,” katanya

Beliau berkata, rundingan itu berjalan antaranya, Mukhriz dan Marzuki yang mewakili GTA manakala PN diwakili Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin serta Bendaharinya Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bagi membolehkan GTA memuktamadkan senarai calonnya, Dr Mahathir berkata, pihaknya memberikan tempoh dua hari kepada PN untuk membuat keputusan berkaitan kerjasama dengan GTA dalam PRU15.

GTA akan mengumumkan senarai penuh-calon mewakili gerakan itu pada 2 November nanti.

Ditanya jika bekas Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador akan diletakkan sebagai calon mewakili GTA, Mukhriz berkata, semua pihak perlu tunggu dan lihat.

Related posts

Leave a Comment