Undi 5 juta pemilih baharu penting

BERA 27 Okt. –  Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak mengabaikan kuasa mengundi hampir lima juta pemilih baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob berkata, kebanyakan daripada mereka terdiri daripada pengundi tidak berparti dan kumpulan pengundi muda, justeru libat urus bersama mereka perlu dipertingkatkan supaya mereka menyokong BN.

Bercakap di hadapan kira-kira 6,000 penyokong BN, di sini,,  beliau menyifatkan, undi kumpulan itu sebagai amat penting dan tanpa sokongan mereka, sukar untuk BN menguasai kerajaan semula.

“Sebab itu, saya harap kita semua sama-sama bekerja kuat bukan sahaja untuk mendapatkan pengundi putih supaya terus kekal bersama kita, tetapi juga mendapatkan sokongan daripada mereka yang atas pagar dan tidak berparti supaya menyokong kita.

Insya-Allah, kalau mereka sokong kita, pengundi putih kita kekalkan untuk terus sokong kita, Insya-Allah DUN (Dewan Undangan Negeri) yang kita pertandingkan, Parlimen yang kita pertandingkan, pasti akan dikuasai kita, BN,” katanya.

Penyandang kerusi Parlimen Bera itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Solidariti, Kestabilan dan Kemakmuran bersama Perdana Menteri Peringkat Pahang dan pelancaran jentera BN Pahang.

Ismail Sabri turut memberi peringatan kepada jentera dan mereka yang bakal bertanding atas tiket BN untuk mempelajari pengajaran daripada PRU14, bahawa tidak ada parti yang boleh memberi jaminan kemenangan besar bagi menguasai kerajaan.

“Kita sudah belajar daripada PRU14, tiada parti yang boleh memberi jaminan boleh menang (bentuk kerajaan), kita kena kerja kuat. Tuan-tuan, puan-puan kena kerja kuat untuk memastikan bukan sahaja Pahang dikekalkan dengan kerusi yang lebih besar, kalau boleh dua pertiga kerusi Pahang ini kita kuasai, begitu juga dengan Parlimen,” katanya.

Related posts

Leave a Comment