2,616,575 pengundi berdaftar di Johor

JOHOR BAHRU 28 Okt. – Daftar pemilih yang baharu menunjukkan terdapat seramai 2,616,575 pengundi berdaftar yang layak mengundi di seluruh Johor pada Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU-15) nanti.

Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, ia membabitkan pertambahan seramai 18,727 pengundi berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.

“Daripada jumlah itu seramai 2,593,562 adalah pengundi biasa yang boleh mengundi pada hari pengundian pada 19 November.

Selain itu, undi awal pada 15 November akan membabitkan 22,689 pengundi dan 324 lagi adalah undi luar negara,” katanya pada Taklimat SPR Bersama Media Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengundi muda yang berusia 18 hingga 20 tahun di negeri itu pula seramai 169,919 orang.

Parlimen Tebrau merekodkan jumlah pengundi tertinggi, iaitu seramai 223,301 orang, disusuli Parlimen Iskandar Puteri 222,437 dan Parlimen Pasir Gudang 198,485.

Sementara itu, sebanyak 1,087 pusat mengundi termasuk 63 pusat undi awal bakal beroperasi membabitkan 4,781 saluran di 26 kawasan Parlimen.

Selain itu, seramai 45,566 petugas SPR akan dikerahkan bagi menyelia pusat-pusat mengundi yang telah ditetapkan.

Related posts

Leave a Comment