Pejuang persoal ketelusan RoS

SEPANG 20 Okt. – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mempersoalkan ketelusan proses dan kebebasan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membuat keputusan membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Penerangannya, Rafique Rashid, berkata walaupun undang-undang perlu dipatuhi, pelaksanaannya juga mesti dilihat adil, terutama apabila keputusan berkenaan dibuat ketika proses perundangan masih berjalan.

Beliau berkata, pada 13 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan kebenaran kepada PN untuk memulakan semakan kehakiman, manakala pendengaran permohonan penangguhan ditetapkan pada 22 Oktober ini.

Bagaimanapun katanya dalam satu kenyataan, pendaftaran PN sudah dibatalkan hari ini, 20 Oktober 2026.

“Dua hari lagi pun tidak boleh tunggu? Betul tak ada niat nak sekat hak demokrasi rakyat? Apa alasan undang-undang yang kukuh? Jika ada, jelaskan kepada rakyat dan pertahankan di mahkamah.

Persoalannya bukan sekadar sama ada RoS mempunyai kuasa. Persoalannya juga bagaimana, bila dan atas alasan apa kuasa itu digunakan,” dakwanya.

Rafique turut menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga memangku jawatan Timbalan Presiden PKR, menjelaskan mengenai kebebasan RoS dalam membuat keputusan itu bagi mengelakkan timbul persepsi bahawa tindakan berkenaan dipengaruhi kepentingan politik.

“Kita pernah saksikan pertikaian mengenai penyalahgunaan kuasa pendaftaran pertubuhan terhadap sesuatu parti politik pada masa lalu. Apakah kita sedang lihat sejarah yang berulang? Jangan malas belajar sejarah.

“Jika benar ROS bertindak secara bebas, tidak sepatutnya sukar untuk menjelaskan proses dan asas keputusannya, terutama apabila pembatalan dibuat ketika proses kehakiman sedang berjalan dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin hampir?

“Apakah terdapat sebarang arahan atau campur tangan politik? Jika tiada, nyatakan dengan jelas. Itu pun rakyat tahu dan faham. Bukan mudah nak bohong rakyat,” dakwanya.

Rafique turut mengkritik pendirian Bersatu yang menyalahkan kepemimpinan Pas susulan keputusan RoS, termasuk kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang menyifatkan perkembangan itu sebagai bukti kegagalan tadbir urus PN.

Beliau berkata, prinsip demokrasi, ketelusan dan hak parti komponen yang dibangkitkan Bersatu juga perlu dinilai berdasarkan tindakan serta pendirian parti itu sendiri.

“Apakah kedudukan sebenar Bersatu terhadap kerjasama politik dengan Pakatan Harapan? Sibuk nak tubuh Ikatan Prihatin Rakyat untuk jadi tali barut pada Pakatan Harapan sedangkan sibuk mengaku masih parti komponen PN?

Laporan cadangan hubungan kerjasama antara Bersatu dan pentadbiran PH Selangor dalam Dewan Undangan Negeri Selangor. Takkan lupa? Hubungan itu tak kabur. Bersatu paling tahu dan faham tentang soal kekaburan.

Adakah kerjasama tersebut mempunyai hubungan dengan pertikaian dalam PN? Atau kedua-duanya perkara yang berasingan? Rakyat berhak dapat jawapan. Bukan sekadar kenyataan yang salahkan pihak lain,” katanya.

Beliau juga menarik perhatian mengenai dakwaan pembatalan PN bermotifkan politik menjelang pilihan raya Melaka, satu dakwaan serius yang mesti diteliti berdasarkan dokumen, urutan kronologi tindakan dan keterangan yang boleh diuji.

Menurut Rafique, kedua-dua pihak iaitu RoS dan PN yang masing-masing mempunyai alasan berhubung pembatalan itu patut diuji secara terbuka.

“Demokrasi tidak jadi lebih kukuh bilamana keputusan pentadbiran dianggap sentiasa betul. Ketelusan dan kebertanggungjawaban hampir hilang. Kalau pembatalan itu sah, jelaskan asasnya. Kalau prosesnya cacat, betulkan melalui saluran undang-undang,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau mencabar kerajaan mengadakan pilihan raya umum lebih awal jika PH dan Bersatu begitu yakin bahawa rakyat menyokong pendirian masing-masing.

“Keputusan mengenai pembubaran Parlimen tetap tertakluk kepada Perlembagaan. Tetapi perbahasan tentang mandat rakyat tidak sepatutnya ditutup. Tapi semua tahu keputusannya, Pakatan Harapan dan Bersatu juara di media sosial bila kumpul emoji ketawa dari rakyat segenap lapisan.

Buatlah PRU-16. Rakyat pun sudah muak dan jelik dengan sandiwara kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim. Demokrasi sebenar bilamana keputusan pentadbiran boleh dicabar di mahkamah, mandat politik pula ditentu kuasa pilihan rakyat,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment