SOP Deepavali

KUALA LUMPUR 5 Nov  — Tiada pergerakan rentas mukim, daerah atau negeri dibenarkan bagi mereka yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk tujuan balik kampung bersempena Deepavali.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, penganut Hindu di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan PKPB dibenarkan mengikuti upacara keagamaan pada hari pertama sambutan pada 14 November ini dengan SOP yang ketat.

Bagaimanapun, aktiviti sembahyang di rumah ibadat, aktiviti ziarah dan perniagaan adalah tidak dibenarkan dalam kawasan PKPD.

Bercakap pada sidang media perkembangan PKPP di sini, hari ini, Ismail Sabri, berkata, kuil hanya dibuka dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari dengan upacara disertai tidak lebih 30 orang pada satu-satu masa, bergantung pada keluasan premis.

Sesi sembahyang itu perlu dibahagikan kepada lima sesi (30 minit setiap sesi) dengan diselangi operasi sanitasi selama 30 minit dengan manisan juga perlu diagihkan secara bungkus  kepada penganut dan mereka perlu bersurai selepas selesai upacara sembahyang.


Mengenai sambutan di rumah, Ismail Sabri berkata hanya maksimum 20 orang terdiri daripada keluarga terdekat dibenarkan bagi kediaman bertanah sementara kediaman strata pula tidak boleh melebihi 10 orang bagi keluasan kurang 1,500 kaki persegi (kps) dan maksimum 15 orang untuk premis berkeluasan 2,500 kps.

Related posts

Leave a Comment