Sokong GTA melalui Pejuang

PUTRAJAYA 25 Okt. – Gerakan Tanah Air (GTA) terpaksa menggunakan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai gantinya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berikutan pendaftarannya tidak diluluskan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Justeru Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta pengundi memilih Pejuang yang mewakili GTA bagi memelihara masa depan orang Melayu, sekali gus menentukan bahagian mereka dalam negara berbilang kaum.

Beliau berkata kerajaan tidak meluluskan GTA, gabungan rakyat daripada semua lapisan bermatlamat mendirikan sebuah kerajaan yang bersih, cekap dan amanah.

Katanya, GTA terdiri daripada orang Melayu yang rata-rata miskin dan bermasalah mendorong hanya golongan itu sahaja yang memahami situasi yang dihadapi.

“Dahulu orang Melayu dilindungi kerajaan yang didominasi bangsa itu, iaitu UMNO. Tetapi UMNO di bawah Najib (Datuk Seri Najib Razak) sudah ubah perjuangan UMNO daripada melindungi dan memajukan orang Melayu kepada memperkayakan diri pemimpin UMNO.

“Sebab itu, GTA ditubuhkan untuk melindungi dan memaju orang Melayu. Gerakan akan kembali kepada perjuangan asal UMNO,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, GTA mampu memulihkan negara dan memajukan orang Melayu seperti UMNO dahulu melakukannya.

“Tumpuan kami bukan dapat tempat untuk diri tetapi untuk memulih politik, ekonomi dan kewangan negara. Kita akan atasi kemiskinan yang melemahkan ekonomi Melayu sehingga menjual tanah air mereka,” katanya.

Dr.Mahathir sebelum ini mengumumkan GTA akan memasuki PRU15 menggunakan bendera dan logo Pejuang.

Keputusan itu dibuat berikutan Parlimen dibubarkan sebelum sempat permohonan pendaftaran GTA sebagai sebuah parti politik diluluskan oleh RoS.

Katanya, walaupun GTA mungkin diluluskan dalam masa terdekat, pihaknya masih tidak boleh bertanding menggunakan logo berkenaan.

Related posts

Leave a Comment