Seri Paduka lawat Singapura

SINGAPURA 25 Okt – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat tiba di Singapura pagi ini bagi memulakan lawatan negara sehingga 28 Oktober ini.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua serta delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di sini pada kira-kira 10.50 pagi, yang turut disertai anakanda Seri Paduka, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Menteri Pendidikan Singapura Chan Chun Sing, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Dr Azfar Mohamad Mustafar dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak.

Terdahulu Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pada kira-kira pukul 9.45 pagi, dengan diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Luar  Amran Mohamed Zin.

Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Muhaini Zainal Abidin hadir untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka berdua.

Turut hadir mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka berdua ialah Menteri Luar, Saifuddin Abdullah; Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Shafiq Abdullah.

Sempena lawatan ke Singapura itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadualkan berangkat untuk melawat Asian Civilisations Museum dan Edible Garden City pada hari ini.

Raja Permaisuri juga dijadualkan berangkat mengadakan lawatan Gardens By The Bay pada malam ini, dengan turut diiringi Tengku Puteri Afzan.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadualkan menerima menghadap Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan isteri di Hotel Shangri-La Singapura pada 26 Okt, disusuli dengan majlis santapan tengah hari.

Pada sebelah petangnya, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat ke Majlis Sambutan Negara di The Istana, Orchard Road dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Singapura Halimah Yacob, serta disusuli dengan Majlis Santapan Negara.

Pada hari kedua, Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat melawat loji NEWater, kemudiannya ke Kem Latihan Komando di Pasir Ris, manakala Tunku Azizah dijadualkan melawat beberapa tempat bersejarah antaranya National Library dan National Museum of Singapore.

Seri Paduka berdua akan turut berangkat ke majlis santapan malam dan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Singapura pada Khamis.

Seri Paduka berdua pada asalnya dijadualkan mengadakan lawatan negara ke Singapura pada 19 hingga 21 September namun, ditangguhkan berikutan Seri Paduka berkenan mewakili Malaysia ke istiadat pemakaman negara mendiang Ratu Elizabeth II di London, United Kingdom pada 16 hingga 21 September lalu.

Related posts

Leave a Comment