Pas akan muktamadkan hala tuju

PUTRAJAYA 27 Sept. – Pas akan membuat keputusan muktamad tentang hala tuju parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) selain kata putus Pas tentang apa sahaja bentuk kerjasama dengan UMNO, kata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu itu berkata, beliau telah diberi bayangan oleh pimpinan utama Pas dalam pertemuan mereka malam tadi tentang keputusan tersebut.

Muhyiddin berkata, beliau telah diberi bayangan, Pas akan membuat keputusan mengenai apakah hala tuju dalam PN, sama ada ada apa-apa lagi usaha yang nak dibuat dengan UMNO dan sebagainya.

“Mungkin cut-off date, that they want nothing to do with UMNO. Ini kita serah kepada mereka, kita dah bagi pandangan. Supaya kita tetap kukuh dalam gabungan, ambil pendirian yang sama, tidak ada pertembungan asalkan nak tentukan kemenangan (dalam Pilihan Raya Umum),” katanya lagi.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media di sini ketika diminta mengulas mengenai catatan beliau berhubung perjumpaan bersama pimpinan utama Pas malam tadi.

Beliau menjelaskan hubungan Pas dalam PN adalah mantap dan kukuh malahan Pas komited bersama PN dan tidak timbul soal sama ada Pas akan meninggalkan gabungan PN.

Perjumpaan malam tadi juga bersetuju untuk memuktamadkan segera mengenai pengagihan kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum.

Pada pertemuan itu juga Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa pertemuan selama setengah jam dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak membawa hasil dan tanpa apa-apa keputusan.

Muhyiddin juga menyambut baik usaha perpaduan ummah anjuran Pas tetapi realitinya Bersatu tidak mungkin bersama UMNO kerana Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu memutuskan tidak akan menerima Bersatu.

Begitu juga ketika Bersatu dipelawa menyertai Muafakat Nasional (MN) tetapi tidak ada sebarang perkembangan.

“Jelas terbukti bahawa UMNO tidak mahu bekerjasama,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu baru-baru ini berkata, semua parti komponen PN perlu sepakat bahawa musuh utama gabungan itu pada PRU15 adalah BN, selain mengingatkan parti komponen PN supaya bergerak sebagai satu pasukan dengan hala tuju yang sama.

Jelas Muhyiddin, parti-parti dalam PN tidak sepatutnya membuat kenyataan atau menyatakan pendirian yang bertentangan antara satu sama lain.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, parti itu tidak boleh menerima pendirian mana-mana pihak yang melabelkan kumpulan Melayu Islam yang lain sebagai musuh utama.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, pendirian sebegitu tidak dapat diterima apatah lagi melibatkan kedudukan dan kuasa orang Islam dalam pemerintahan sesebuah negara yang majoritinya umat Islam seperti Malaysia.

“Kenyataan seumpama itu dilihat tidak wajar dan janggal sekiranya pihak yang dilabelkan sebagai musuh utama tersebut adalah rakan muafakat dalam kerajaan yang dipimpin bersama,” katanya lagi.

Mengulas lebih lanjut, Muhyiddin berkata, pertemuan dengan pimpinan utama Pas yang diketuai Abdul Hadi semalam telah mengesahkan parti itu masih komited untuk bersama PN.

Selain itu, kata Muhyiddin, kenyataan beliau bahawa UMNO dan BN adalah musuh utama PN, tidak perlu dilihat dari sudut agama, tetapi lebih kepada musuh politik.

“Sebab itu dalam perbincangan itu, hubungan kita ini masih mantap, kukuh, mungkin (ada pihak) yang gelojoh, tak tahu. Yang lebih penting, perkembangan terkini, kita jelaskan hubungan kita, dalam kenyataan yang saya buat itu jangan disalah tafsir, kerana dalam PRU, dah tentu akan ada pertembungan antara parti,” katanya.

Muhyiddin berkata, sebagai Pengerusi PN, beliau akan bergantung pada keputusan PN, bukan keputusan Pas.

“Kita akan bertembung dengan parti yang tak sehaluan dengan kita,” katanya lagi.

 

 

 

Related posts

Leave a Comment