Sukma: Tiada cuti peristiwa di Johor

JOHOR BAHRU 27 Sept. – Tiada cuti peristiwa berikutan kejayaan Johor menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) yang berlangsung pada 16 hingga 24 September lalu.

Unit Korporat dan Kualiti, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor dalam kenyataan, memaklumkan penularan dakwaan berkaitan cuti itu di media sosial sejak kelmarin adalah palsu dan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

“Telah tular satu kenyataan melalui aplikasi WhatsApp menyatakan kerajaan Johor akan memberikan cuti peristiwa pada 29 September atau Khamis ini atas kejayaan kontinjen negeri ini menjuarai Sukma.

Pentadbiran ini menafikan sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan dan telah tular itu. Pentadbiran ini juga kesal tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan palsu sehingga menyebabkan kekeliruan kepada orang awam,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tular yang memetik Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dr Azmi Rohani itu, antara lain mendakwa kerajaan negeri memutuskan untuk mengisytiharkan Cuti Khas Peristiwa bagi seluruh rakyat di Johor pada hujung minggu ini.

Ia kononnya sempena kejayaan Johor muncul juara keseluruhan Sukma 2022 dengan meraih 77 pingat emas keseluruhannya.

Selain 77 pingat emas, Sukma 2022 yang menutup tirainya pada Sabtu lalu, menyaksikan Johor memungut 52 pingat perak dan 43 gangsa, manakala Terengganu di tangga kedua dengan 64 emas, 49 perak dan 56 gangsa.

Related posts

Leave a Comment