Perbincangan dua jam amat bermakna

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Presiden Bersatu,  Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau sudah bertemu Presiden Pas,  Abdul Hadi Awang malam tadi yang dipercayai berkaitan spekulasi bahawa Pas mahu terus bekerjasama dengan UMNO.

Muhyiddin melalui perkongsian di Facebook pagi ini, tidak menjelaskan butiran langsung perbincangan itu, namun menyatakan banyak perkara dipersetujui kedua-dua pihak hasil pertemuan itu.

“Alhamdulillah. Perbincangan selama dua jam malam tadi yang amat bermakna. Banyak perkara dipersetujui untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional dalam menghadapi PRU-15”,” katanya  ringkas.

Pertemuan yang turut disertai beberapa pemimpin kedua-dua parti itu menyusul beberapa kenyataan berkaitan pilihan raya umum termasuk kenyataan Muhyiddin bahawa musuh PN adalah BN dan kenyataan Pas bahawa BN bukan musuh Pas.

Selain Abdul Hadi dan Muhyiddin, pertemuan turut dihadiri Naib Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu bersama Naib Presiden, Dr Radzi Jidin.

Sebelum ini timbul spekulasi bahawa Pas mahu kembali bertaut dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN) selepas Bersatu didakwa semakin hilang sokongan tetapi perkara itu dinafikan Abdul Hadi.

Laporan media sebelum ini mendakwa Hadi dan Zahid mengadakan pertemuan untuk menghidupkan semula MN bagi mengelakkan pertembungan dua parti itu pada PRU15.

Laporan itu turut menyebut pertemuan tersebut berlangsung Sabtu lalu dan keputusan perbincangan itu bakal dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) UMNO 30 September ini.

Susulan laporan itu, Muhyiddin berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Pas untuk mengetahui kedudukan sebenar.

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hasan, dalam kenyataan malam tadi berkata, Pas tidak boleh menerima pendirian mana-mana pihak yang melabelkan kumpulan Melayu Islam yang lain sebagai musuh utama, apatah lagi dalam perkara membabitkan kedudukan dan kuasa orang Islam dalam pemerintahan sesebuah negara yang majoritinya umat Islam seperti Malaysia.

Related posts

Leave a Comment