SHAH ALAM 20 April – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Beta bertitah, baginda tidak akan jemu untuk terus menitahkan agar tindakan diambil sehingga masalah asas seperti banjir dan bekalan air bersih diselesaikan dan ditamatkan.
Justeru, baginda menitahkan kerajaan negeri mencari pendekatan lebih sistematik, bersepadu dan berkesan untuk menyelesaikan masalah yang menjadi rungutan rakyat, bukan asyik bercakap sahaja.
Baginda memaklumkan pernah menasihatkan kerajaan negeri merujuk pakar dari negara luar terutama Belanda bagi mendapatkan idea terbaik mengatasi masalah banjir di Selangor.
“Beta difahamkan setiap tahun akan ada peruntukan dari belanjawan negeri bagi mengatasi masalah banjir, namun tiada hasil berkesan yang dapat dilihat sehingga hari ini, dan banjir masih tetap berlaku di beberapa kawasan terutama perumahan di negeri ini sehingga menyusahkan rakyat.
“Hari ini, Beta sekali lagi menasihati kerajaan memberikan fokus utama dalam mengatasi masalah banjir ini.. perancangan dan tindakan untuk jangka masa pendek mahupun sederhana dan panjang perlu segera dilaksanakan,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada Perasmian Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 hari ini,
Selain isu banjir yang perlu diberikan fokus utama, baginda bertitah keadaan Sungai Klang dan operasi kilang haram yang menyebabkan pencemaran juga perlu untuk ditangani kerajaan negeri.
Baginda mahu Sungai Klang dibersihkan agar rakyat Selangor yang populasinya bertambah secara mendadak tahun ke tahun dibekalkan sumber air bersih untuk minuman dan keperluan harian rakyat.
“Kerajaan negeri juga harus peka terhadap kilang-kilang yang tidak menguruskan sisa secara berhemah kerana ini mampu mendatangkan risiko pencemaran sungai.
“Tindakan keras harus diambil terutamanya kepada kilang yang didapati beroperasi tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan. Begitu juga isu kebersihan membabitkan perkhidmatan mengangkut sampah yang dilihat tidak dapat diatasi dengan berkesan,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut membangkitkan isu ternakan babi memandangkan masih ada pihak yang tidak berpuas hati dan merungut.
“Masih ada rungutan dari beberapa pihak yang seolah-olah tidak berpuas-hati dan enggan untuk mematuhi titah Beta. Beta telah memberikan faktor-faktor kenapa ternakan babi tidak sesuai di negeri Selangor,” titah baginda.
Nnnn
