Lima lagi wakil rakyat bakal sertai PBM

BUKIT MERTAJAM 24 Sept. – Lima lagi wakil rakyat – tiga Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhasrat menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Ampang yang bakal dilantik sebagai Presiden PBM, Zuraida Kamaruddin, berkata identiti wakil rakyat berkenaan akan diumumkan 1 Oktober ini sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama parti di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, ketika ini penerimaan rakyat terhadap PBM amat positif dalam beberapa siri jelajah yang diadakan dan diharapkan dengan pertambahan wakil rakyat itu nanti menjadikan parti berkenaan semakin kuat serta mendapat tempat di hati rakyat.

“Jadi, tunggulah 1 Oktober ini yang tarikh itu adalah AGM pertama PBM yang kita akan adakan di Kuala Lumpur. Di situ, kita akan buat pengumuman kemasukan Ahli Parlimen dan ADUN bersama kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pejabat PBM Pulau Pinang di Juru, di sini, hari ini.

PBM ketika ini mempunyai empat Ahli Parlimen iaitu Ampang (Zuraida), Tebrau (Steven Choong Shiau Yoon), Julau (Larry Sng Wei Shien) dan Silam  (Mohamaddin Ketapi).

Lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula adalah tiga di Perak dan dua lagi di Selangor.

Mengulas mengenai persiapan PBM menjelang PRU15, Zuraida berkata, parti itu tidak mahu membuang masa dengan hanya ingin memberi tumpuan untuk mempertahankan kerusi yang disandang PBM pada PRU lalu.

Katanya, PBM sudah kesuntukan waktu untuk membina pengaruh baharu di kawasan lain memandangkan tarikh PRU15 kini dilihat semakin hampir.

“Jadi, kita tumpu kerusi yang kita dah menang (disandang oleh ahli PBM). Itu sahaja.

Kita tidak akan pergi ke tempat yang kita belum tentu lagi (akan menang). Kita dah ada jentera, kita dah ada penyokong (di kerusi penyandang), jadi, lebih mudah untuk kita buat kerja,” katanya.

Related posts

Leave a Comment