BN kembali teguh jika ahli bersatu hati

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Barisan Nasional (BN) akan kembali teguh dan ampuh jika ahli UMNO  bersatu hati dan parti komponen BN bersifat realistik dan bergerak berdasarkan fakta dan data, kata Pengerusi BN, Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Begitu juga gelombang ‘Keluarga kita BN’ perlu digerakkan secara bersepadu untuk menggandakan kekuatan BN dan semua ini perlu dilakukan dengan tekad yang kuat dan semangat perjuangan yang luhur,” katanya.

Beliau menegaskan ‘gelombang UMNO ialah keluarga kita’ akan terus diperkasakan untuk memastikan setiap keluarga besar adalah ahli UMNO.

“Dengan ahli 3.4 juta kalau digandakan dengan lima ahli keluarga sekurang-kurangnya, kekuatan UMNO mengatasi kekuatan asas UMNO.

“Setiap lapisan Pusat Daerah Mengundi (PDM), cawangan dan bahagian perlu membina asas kekuatan ini.,” katanya dalam kenyataan di media sosial, hari ini.

Mengimbau peristiwa selepas kekalahan BN pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14), katanya, ketika itu UMNO berada pada titik terendah dan terlemah akibat ramai wakil rakyat UMNO berpaling tadah dan melompat parti tanpa memikirkan nasib dan masa parti UMNO tewas akibat politik persepsi.

“Ketika UMNO tewas, diperkecil dan dijauhi oleh oportunis politik serta dijadikan mangsa politik pembangkang, saya mengingati ahli UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO 2018 bahawa UMNO akan bangkit dan akan berjaya menjadi kerajaan kembali.

“Namun ketika itu, ramai memandang sinis kenyataan itu dan kini perdana menteri daripada UMNO dan fasa seterusnya Insya Allah berkat doa dan perjuangan berterusan UMNO akan kembali dominan dalam membentuk kerajaan selepas PRU15,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, sekali lagi mendedahkan beliau pernah diminta oleh Dr Mahathir Mohamad untuk melompat parti menyertai Bersatu serta membubarkan UMNO.

Katanya, disebabkan keengganannya berbuat demikian pendakwaan terpilih dikenakan ke atasnya ketika zaman kerajaan ditadbir Pakatan Harapan (PH).

Dr Mahathir memintanya memaklumkan kepada ahli UMNO supaya menyertai Bersatu dan memintanya melupakan parti tertua negara itu.

“Secara tegas saya menolak dan menyatakan kepada Dr Mahathir bahawa kubur saya akan banjir keesokannya, jika saya bubar dan keluar daripada UMNO untuk menyertai parti Bersatu.

Penolakan itu kerana saya tidak akan sekali-kali mengkhianati parti UMNO semata-mata untuk kesenangan peribadi jawatan dan kedudukan.

“Sedangkan UMNO adalah teras harapan dan perjuangan orang Melayu khususnya dan menjadi tulang belakang rakyat Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid menyatakan, UMNO tidaklah 100 peratus sempurna, namun ia yang terbaik dalam kalangan parti berteraskan Melayu Islam dan mempunyai semangat Malaysia sebenar.

Katanya, walaupun ada segelintir dalam UMNO masih tidak akur dengan keputusan dan pendirian parti, sikap UMNO masih berhemah dan optimistik.

“Hakikatnya, saya tetap berjuang mempertahankan UMNO setelah diberikan kepercayaan oleh akar umbi UMNO seluruh pelosok negara untuk menjalankan tugas sebagai Presiden,” katanya.

Related posts

Leave a Comment