KUALA LUMPUR 22 Okt. – Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Perikatan Nasional (PN) untuk menggantung tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang membatalkan pendaftaran gabungan itu dua hari lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Azizan Md Arshad, memutuskan bahawa pembatalan pendaftaran PN pada 20 Oktober lalu tidak secara automatik menjadikan permohonan penangguhan itu tidak lagi relevan.
Keputusan itu dibuat hanya sembilan hari sebelum hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka, dengan PN berusaha mengekalkan hak untuk bertanding menggunakan nama dan lambangnya sendiri.
Azizan berkata, mahkamah mendapati wujud keadaan luar biasa yang mewajarkan penangguhan berkenaan, khususnya kemungkinan kesan buruk terhadap aktiviti politik PN dan penyertaannya dalam pilihan raya akan datang.
Katanya, mahkamah perlu mempertimbangkan kesan mudarat yang lebih besar sekiranya penangguhan itu dibenarkan atau ditolak.
Beliau berkata, antara perkara dipertimbangkan ialah hak pemohon dalam aktiviti politik sebagai anggota parti, wakil rakyat, ahli Parlimen atau anggota kerajaan negeri.
“Terdapat keadaan luar biasa yang memerlukan penggantungan ini diberikan dengan mengambil kira peranan pemohon-pemohon dalam aktiviti politik yang menyentuh hak-hak sebagai anggota parti atau hak sebagai wakil rakyat atau ahli Parlimen atau kerajaan negeri.
“Dalam keadaan tertentu, terdapat perkara yang tidak lagi dapat dipulihkan, seperti penyertaan dalam sistem pilihan raya Malaysia,” katanya.
Azizan berkata, mahkamah turut mendapati tiada prejudis kepada pihak responden sekiranya penggantungan itu dibenarkan kerana aktiviti politik PN dan pemohon masih boleh dipantau mengikut undang-undang negara.
Tambahnya lagi, pengawasan berterusan terhadap aktiviti politik gabungan itu masih boleh dilaksanakan dan tindakan penguatkuasaan boleh diambil sekiranya perlu.
“Isu utama yang dipertimbangkan mahkamah ialah sama ada permohonan penggantungan pelaksanaan atau ‘stay’ itu menjadi akademik selepas RoS membatalkan pendaftaran PN pada 20 Oktober lalu, sebelum permohonan berkenaan diputuskan.
“Pihak responden berhujah bahawa pembatalan yang sudah berkuat kuasa menyebabkan permohonan itu kehilangan tujuan dan tidak lagi wajar dibenarkan,” katanya.
Bagaimanapun, Azizan menolak hujahan berkenaan dan berkata, persoalan sama ada sesuatu permohonan menjadi akademik tidak boleh ditentukan semata-mata berdasarkan hakikat bahawa tindakan pentadbiran yang dipertikaikan sudah berlaku.
Menurutnya, mahkamah perlu meneliti keseluruhan relif yang dipohon bagi menentukan sama ada masih terdapat isu sebenar untuk diputuskan dan sama ada relif yang berkesan boleh diberikan.
Beliau berkata, permohonan PN bukan hanya terhad kepada penangguhan pelaksanaan notis penggantungan bertarikh 23 September lalu, sebaliknya turut merangkumi permohonan supaya responden pertama dihalang daripada mengambil tindakan lanjut berkaitan notis itu, termasuk membatalkan pendaftaran pertubuhan berkenaan sehingga semakan kehakiman substantif dilupuskan.
“Skop relif itu penting dalam menentukan sama ada permohonan stay masih mempunyai tujuan praktikal kerana pemohon secara nyata memohon perlindungan interim terhadap tindakan lanjut yang boleh diambil oleh responden berhubung notis penggantungan, termasuk pembatalan pendaftaran,” katanya.
Azizan berkata, hakikat bahawa pembatalan pendaftaran sudah dibuat tidak dengan sendirinya membuktikan keseluruhan pertikaian yang dibangkitkan pemohon sudah terhapus.
“Oleh itu, mahkamah tidak menerima hujahan pihak responden bahawa permohonan penggantungan itu secara automatik menjadi akademik hanya kerana pembatalan pendaftaran sudah berkuat kuasa,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keputusan berkenaan tidak bermakna mahkamah secara automatik mempunyai kuasa untuk memberikan apa-apa bentuk perintah yang dipohon kerana bidang kuasa dan kesan sebenar perintah interim perlu diteliti secara berasingan.
Azizan turut menegaskan bahawa perintah ‘stay’ tidak boleh dianggap secara automatik memulihkan pendaftaran yang sudah dibatalkan.
“Keputusan ini tidak menyentuh merit permohonan semakan kehakiman substantif atau kesahan keputusan pembatalan pendaftaran itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata, mahkamah pada peringkat ini tidak memutuskan sama ada tindakan RoS membatalkan pendaftaran PN sah atau bebas daripada penelitian kehakiman.
Menurutnya, kesahan pelaksanaan kuasa berkenaan masih boleh dipersoalkan dalam prosiding berkaitan.
Pada 20 Oktober lalu, RoS mengesahkan membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
Menurut RoS, keputusan itu dibuat di bawah sub perenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) selepas meneliti keseluruhan dokumen dan representasi dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu.
Notis terdahulu bertarikh 22 September lalu dikeluarkan kepada PN di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 bagi memberi peluang kepada parti itu mengemukakan penjelasan dan representasi berhubung perkara yang dibangkitkan.
“Setelah meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan, RoS mendapati alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran sebagaimana dinyatakan dalam notis berkenaan.
“Ia juga tidak memberikan justifikasi yang kukuh untuk mengekalkan pendaftaran pertubuhan berkenaan,” kata jabatan itu dalam kenyataan.
Mmnn
