BN musuh utama PN – Muhyiddin

PUTRAJAYA 24 Sept. – Jika sebelum ini Pas mengisytiharkan Pakatan Harapan (PH), sebagai musuh dalam pilihan raya umum,p (PRU),  Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin pula menganggap Barisan Nasional (BN) musuh utama PN.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata parti komponen dalam PN perlu bergerak sebagai satu pasukan dan memiliki hala tuju yang sama, bukan mengeluarkan kenyataan atau pendirian bertentangan.

“Jangan Bersatu kata begini, Pas begini, Gerakan begini. Kalau tak tunjuk kesatuan, kita akan kalah sebab mesej di bawah tidak jelas, siapa musuh kita.

“Jadi kita dalam PN sudah ada kesepakatan, antara perkara disepakati ialah saya nak sebut di sini bahawa musuh utama kita adalah BN,” katanya ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun Ke-6 Bersatu di sini, hari ini.

Pas sebelum ini menjelaskan musuh parti itu dalam PRU15 adalah PH, bukannya UMNO.

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan dipetik berkata, atas dasar itu, Pas terus mempelawa supaya kerjasama dengan UMNO diteruskan dalam menghadapi PRU15 bagi memastikan sebuah kerajaan stabil dapat dibentuk jika mereka berjaya menang pilihan raya.

Ditanya lanjut mengenai BN musuh utama PN sedangkan Pas menegaskan bahawa musuh parti itu adalah PH, Muhyiddin berkata, perkara itu tidak berbangkit.

“Itu tak apa. Pas bagi pandangan sebegitu sebab belum ada pilihan raya, tetapi bila nak dekat dan hampir pilihan raya, kita akan ada satu keputusan bersama. Sekarang masing-masing parti ada sedikit kebebasan untuk buat apa yang patut.

“Saya pun tak boleh kata jangan itu, jangan ini. Tak apalah, tetapi saya nak tahu apa hasilnya? Adakah UMNO pun setuju akan peluk mereka dan teruskan Muafakat Nasional (MN)? Itu saya kurang pasti,” katanya.

Mengenai persiapan gabungan itu terutama berhubung pengagihan kerusi, Muhyiddin berkata, perkara itu masih dirundingkan.

Related posts

Leave a Comment