Pan Borneo Sabah hadapi kekangan

KOTA KINABALU 22 Okt. – Kelewatan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1, dipengaruhi peralihan model pengurusan, gangguan pandemik Covid-19 serta isu pengambilan tanah dan pengalihan utiliti.

Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Joachim Gunsalam, berkata pelaksanaan projek mega itu turut berdepan cabaran dari segi tenaga kerja, rantaian bekalan bahan binaan dan kerja pelebaran jalan sedia ada yang perlu dilakukan tanpa menjejaskan kelancaran trafik.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, kerajaan memberi tumpuan kepada penyelesaian di tapak serta penambahbaikan pengurusan projek bagi menangani kelewatan berkenaan.

“Kerajaan mengakui kelewatan berlaku dan memberi tumpuan kepada penyelesaian di tapak serta penambahbaikan pengurusan projek,” katanya.

Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata, kemajuan projek perlu dinilai berdasarkan garis masa pelantikan kontraktor, perubahan kaedah pelaksanaan dan status sebenar setiap pakej kerja (WP).

Beliau berkata projek jalan itu dibiayai Kerajaan Persekutuan dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) sebagai pemilik projek dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sebagai agensi pelaksana.

Secara keseluruhan, Pan Borneo Sabah Fasa 1 merangkumi 35 pakej kerja sepanjang 706 kilometer (km), dengan kos RM24.859 bilion.

Pelaksanaan projek bermula menggunakan model Project Delivery Partner (PDP), dengan tiga pakej dimulakan pada 2016, empat pada 2017 dan lima pada 2018, menjadikan keseluruhan 12 pakej.

Bagaimanapun, selepas model PDP ditamatkan pada September 2019, projek beralih kepada kaedah konvensional yang memerlukan penyusunan semula urusan perolehan dan kontrak serta penyelarasan lebih teliti.

“Peralihan ini kali pertama dilaksanakan bagi projek mega seumpama ini. Justeru, penyusunan semula urusan perolehan dan kontrak memerlukan masa serta penyelarasan yang teliti,” katanya.

Daripada 12 pakej asal, 11 dilaksanakan semula pada 2019 dengan pelantikan kontraktor asal, manakala satu pakej yang ditamatkan ketika pelaksanaan model PDP ditender semula sebelum surat setuju terima dikeluarkan pada 2021.

Tiga pakej kerja baharu turut menerima surat setuju terima pada tahun sama, menjadikan keseluruhan 15 pakej bagi Fasa 1A.

Sementara itu, Fasa 1B merangkumi 19 pakej kerja yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), dengan 17 pakej memulakan kerja fizikal pada 2024.

Satu lagi pakej Fasa 1B dan WP09 masing-masing memulakan kerja pada 2025, manakala WP35 memulakan kerja pada Januari 2026.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment