“PN kembali, PN kembali”

KUALA LUMPUR 22 Okt .- “Saya tidak mahu bercakap terlalu banyak. Saya cuma mahu menyatakan dua perkara. PN kembali! PN kembali!” kata Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN),  Takiyuddin Hassan.

Kenyataan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi, di sini hari ini membenarkan permohonan beliau untuk menangguhkan pelaksanaan penggantungan dan pembatalan pendaftaran PN oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Keputusan itu melegakan gabungan berkenaan hanya sembilan hari sebelum hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka.

Bercakap pada sidang media selepas prosiding itu, Takiyuddin merakamkan penghargaan kepada pasukan peguam gabungan itu yang diketuai bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai perkembangan penting bagi PN yang berusaha membatalkan penggantungan yang dikenakan pada 23 September serta pembatalan pendaftarannya pada 20 Oktober lalu.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Presiden Wawasan Negara, Hamzah Zainudin; Presiden Gerakan, Dr Dominic Lau Hoe Chai; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan; Presiden Pejuang,  Mukhriz Mahathir; Timbalan Presiden Pas,  Tuan Ibrahim Tuan Man serta  Shahidan Kassim.

Sementara itu, peguam, Rafique Rashid Ali, yang menganggotai pasukan guaman gabungan itu, berkata keputusan mahkamah bermakna PN boleh kembali menjalankan aktiviti politik seperti biasa, termasuk bertanding pada PRU DN Melaka.

Beliau mengesahkan bahawa perintah penangguhan itu meliputi kedua-dua keputusan RoS, iaitu penggantungan dan pembatalan pendaftaran PN.

Katanya, ini bermakna status quo dikekalkan dan PN boleh bertanding, menggunakan logo gabungan itu dan meneruskan semua aktiviti, termasuk di Melaka.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi masih belum memutuskan sama ada keputusan RoS untuk menggantung dan membatalkan pendaftaran PN itu sah di sisi undang-undang.

Katanya, persoalan berkenaan hanya akan diputuskan ketika pendengaran substantif permohonan semakan kehakiman yang difailkan gabungan itu.

Rafique berkata, pertikaian itu bukan sekadar membabitkan kelangsungan politik gabungan berkenaan, malah turut membabitkan kepentingan pengundi dan wakil rakyat yang dipilih.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Azizan Md Arshad, membenarkan permohonan PN untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu penyelesaian permohonan semakan kehakimannya, selepas mendapati terdapat keadaan luar biasa yang mewajarkan pemberian relif interim.

Hakim memutuskan bahawa keputusan RoS membatalkan pendaftaran PN pada 20 Oktober lalu tidak secara automatik menjadikan permohonan penangguhan itu tidak lagi relevan.

Nnnnj

Related posts

Leave a Comment