SEPANG 22 Okt . – Keputusan kerajaan melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam bukan hanya berdasarkan asal usul teknologi itu, tetapi turut mengambil kira undang-undang yang mengawal selia data pengguna.
Majlis Keselamatan Negara (MKN), dalam kenyataannya hari ini memaklumkan keputusan itu berasaskan dua pertimbangan utama.
Pertama, skop data terperinci yang dikumpulkan oleh Waze, termasuk data lokasi, pergerakan, perjalanan dan maklumat peranti pengguna; Kedua, kemas kini Terma Penggunaan Waze yang menetapkan penggunaan aplikasi itu tertakluk kepada undang-undang Israel dan bidang kuasa eksklusif mahkamah di Tel Aviv.
“Data adalah aset strategik negara dan kerajaan tidak akan berkompromi apabila data rakyat dan kedaulatan maklumat negara diletakkan di bawah bidang kuasa rejim Israel yang tidak diiktiraf Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Larangan ini tidak membabitkan Google Maps kerana aplikasi itu berpangkalan di Amerika Syarikat dan tertakluk kepada undang-undang negara berkenaan berbanding Waze yang terikat kepada undang-undang Israel.
Justeru penjawat awam dan orang ramai disarankan supaya menyahpasang aplikasi Waze daripada peranti masing-masing, memandangkan pengumpulan data masih boleh berlaku, walaupun aplikasi berkenaan tidak digunakan secara aktif.
“Kerajaan mengambil pendekatan berfasa dengan mengimbangi keperluan keselamatan negara serta hak dan kebebasan rakyat untuk membuat pilihan.
“Fasa pertama memberi tumpuan kepada pelaksanaan larangan dalam kalangan penjawat awam dan usaha meningkatkan kesedaran awam. Keberkesanan langkah ini akan dinilai dari semasa ke semasa sebelum tindakan lanjut diputuskan,” katanya.
Dalam kenyataan itu, dimaklumkan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) akan terus menilai produk dan aplikasi lain, khususnya yang terikat kepada undang-undang Israel.
“Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya risiko yang sama dikenal pasti. Seiring dengan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (Al), penyalahgunaan data pergerakan dan corak perjalanan oleh pihak berniat jahat berpotensi menimbulkan ancaman serius.
“Keselamatan siber adalah tanggungjawab bersama dan setiap individu perlu memainkan peranan dalam melindungi data masing-masing,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, aplikasi navigasi TuJu yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mencatatkan lebih 700,000 muat turun sejak semalam.
TuJu versi 2.0 kini tersedia untuk peranti Android, manakala versi IOS dijangka diperkenalkan pada hujung bulan ini.
Bagi memastikan keselamatan aplikasi tempatan, LLM selaku ketua sektor pengangkutan wajib mematuhi Akta Keselamatan Siber 2024 termasuk kod amalan yang ditetapkan.mData pengguna TuJu pula disimpan pada pelayan milik LLM.
NACSA turut mengeluarkan arahan Ketua Eksekutif NACSA merangkumi keperluan pengujian tertentu bagi aplikasi yang dibangunkan secara tempatan.
Nnnnn
