AKPS rekod 24,631 tindakan NTL

KUALA LUMPUR 22 Okt. – Sebanyak 24,631 tindakan Notis Penolakan Masuk (NTL) serta 707 tangkapan bagi pelbagai kesalahan imigresen direkodkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sepanjang tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata angka itu mencerminkan usaha penguatkuasaan berterusan dalam menangani isu ketidakpatuhan imigresen dan memperketat kawalan keselamatan sempadan negara.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius isu kemasukan tanpa kebenaran serta keberadaan warga asing tanpa izin yang berpotensi mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Justeru, KDN bersama semua agensi barisan hadapan, termasuk AKPS, melaksanakan strategi kawalan imigresen secara menyeluruh merangkumi peringkat pra-kemasukan, kemasukan dan pasca-kemasukan.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Bebas-Labuan).

Suhaili meminta penjelasan mengenai langkah penguatkuasaan dan mekanisme saringan di pintu masuk negara bagi memeriksa pelawat asing, termasuk warga China yang dikategorikan sebagai individu berisiko tinggi atau disyaki terbabit dengan sindiket penipuan.

Menurut Saifuddin,  beberapa langkah telah diperkenalkan untuk memperkukuh dasar imigresen dan memperketat kawalan sempadan terhadap semua pelawat asing, khususnya bagi membendung penyalahgunaan dokumen, salah laku imigresen dan aktiviti sindiket.

Antara langkah yang dilaksanakan adalah Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS) yang menganalisis data penumpang secara automatik sebelum pengangkutan berlepas ke Malaysia.

Sistem ini membolehkan pihak berkuasa mengesan pengembara berisiko tinggi serta individu yang disyaki terbabit dalam aktiviti jenayah dari peringkat awal.

Selain itu, AKPS turut memperketat pemeriksaan dokumen perjalanan, tempahan penginapan dan Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC).

“Pelawat warga China yang menggunakan kaunter manual diwajibkan mengemukakan tiket penerbangan pulang serta bukti perjalanan seterusnya. Walaupun kemudahan laluan e-Gate disediakan untuk pemegang pasport China, AKPS kekal melaksanakan kawalan ketat menerusi penugasan pegawai dan pemeriksaan berfokus di lorong berkenaan,” katanya.

AKPS turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi berkongsi maklumat perisikan serta mengesan individu berisiko tinggi atau yang mempunyai kaitan dengan sindiket haram.

Mengenai perancangan jangka panjang, beliau menjelaskan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang berasaskan Seni Bina ‘Zero Trust’ dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028.

Sistem itu akan disokong oleh Sistem Pengecaman Biometrik Automatik (ABIS) yang dijadualkan diperkenalkan pada suku ketiga 2027 bagi meningkatkan verifikasi identiti dan membendung penipuan pasport.

Katanya, bermula 1 November 2026, sistem Identiti Digital Asing akan memadankan data biometrik bagi memastikan setiap individu mempunyai identiti digital yang unik.

Manakala pelaksanaan penuh laluan pusingan autogate bagi warga asing yang keluar dari Malaysia dijadualkan pada Disember ini bagi mengelakkan manipulasi rekod pergerakan.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment