ALOR SETAR 9 Mei – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang dipecat parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu semalam, masih menjalankan tugas masing-masing dalam pentadbiran negeri Kedah seperti biasa.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, sebarang tindakan membabitkan ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis perlu melalui proses pentadbiran, selain mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Dzowahir adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah, manakala Abdul Razak pula Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kita perlu bincang secara terperinci, sembah maklum kepada Tuanku Sultan dan seterusnya menjalani proses mengikut prosedur yang ditetapkan. Mereka masih menjalankan tugas (Exco negeri dan Timbalan Speaker DUN) seperti biasa ketika ini,” kata Sanusi.
Beliau berkata, surat daripada Bersatu yang memohon pertukaran jawatan Exco dan Timbalan Speaker DUN Kedah sebenarnya sudah diterima sebelum ini, namun kerajaan negeri tidak mengambil tindakan kerana kedua-dua pemimpin itu masih ahli parti berkenaan ketika itu.
Katanya, perkara itu turut dibincangkan bersama Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung, Mohamed Azmin Ali ketika majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kubang Rotan dan Bersatu Kedah pada 10 April lalu.
“Ketika itu mereka belum dikenakan tindakan oleh parti, jadi tiada sebab untuk menukar mereka dengan individu lain. Sekarang sudah ada surat rasmi pemecatan diterima, namun tindakan tetap tertakluk kepada prosedur pelantikan Exco dan Timbalan Speaker,” katanya.
Nnn
