Samy Vellu meninggal dunia

KUALA LUMPUR 15 Sept. –  Bekas Presiden MIC, Tun Dr S Samy Vellu meninggal dunia di kediamannya di sini kira-kira pukul 7 pagi ini, 15 September 2022.

Bekas Menteri Kerja Raya itu meninggal dunia pada usia 86 tahun.

Perkara itu disahkan bekas Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam dalam satu kenyataan di Facebook beliau.

“Dengan rasa sedih dan pilu, saya menerima berita tragis pemergian Tun Samy Vellu, bekas Presiden MIC dan menteri legenda dalam Kabinet Malaysia daripada anaknya Datuk Seri Vell Paari.

“Takziah kepada Toh Puan, Datuk Seri Vell Paari dan seluruh ahli keluarga atas kematiannya. Beliau menjalani sepenuhnya kehidupan yang mulia dan pergi dengan penuh penghormatan serta penghargaan,” katanya.

Mengenang jasa mendiang, Dr Subramaniam yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, Samy Vellumemberi sumbangan besar terhadap negara dan masyarakat India.

Antara sumbangan besar mendiang adalah mewujudkan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), Universiti AIMST dan Kolej Tafe.

“Justeru sumbangan beliau kepada negara dan masyarakat India akan kekal dalam ingatan kami,” katanya.

Samy Vellu menerajui MIC selama 31 tahun bermula 1979 hingga 2010.

Mendiang menceburi bidang politik ketika berusia 23 tahun pada 1959 apabila menyertai MIC cawangan Batu Caves, di samping menjadi antara menteri Kabinet paling lama berkhidmat iaitu 29 tahun.

Samy Vellu dilantik sebagai Menteri Kerja Raya dari 1983 hingga 1989 dan 1995 hingga 2008, selain menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput bermula 1974 hingga 2008.

Mendiang pernah berkhidmat sebagai anggota pentadbiran Persekutuan di bawah tiga Perdana Menteri iaitu Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi dari 1978 hingga 2008.

Related posts

Leave a Comment