KUALA LUMPUR 26 Mei – Jika semalam Hamzah Zainudin mencadangkan Anwar Ibrahim meninjau harga barang di Pasar Raja Bot, hari ini Perdana Menteri menjawab “Kerja saya hampir saban minggu ke warung kecil dan pasar,”
Anwar menyifatkan kenyataan Ketua Pembangkang itu hanya cubaan untuk mengelak daripada menjawab soalannya mengenai mengapa Ahli Parlimen Larut itu sibuk mempertahankan golongan kaya dan orang luar susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar.
“Saya ke pasar tidak saban minggu tapi warung kecil (setiap minggu) dan setiap kali sebelum Jumaat, saya tanya mengenai harga barang dan masalah mereka.
Tapi saya ingat beliau nak elak daripada jawapan mengenai parti itu mendokong tauke-tauke kaya dan orang-orang asing, itu beliau belum jawab,” katanya selepas merasmikan Pameran Era Pasca Normal MADANI di sini, hari ini.
Semalam, Hamzah dalam kenyataannya berkata, sebagai Perdana Menteri, Anwar tidak membuat kenyataan yang tidak berpijak di bumi yang nyata.
“Saya cadangkan kepada Perdana Menteri, balik Tokyo pergi tinjau Pasar Raja Bot. Lihat sendiri kenaikan harga barang. Harga cili padi naik ke RM28/kg berbanding RM18 sebelum ini. Harga sawi naik ke RM11 berbanding RM7 sebelum ini dan harga kangkung naik ke RM10 berbanding RM8 sebelum ini,” katanya.
Terdahulu ketika di Tokyo, Anwar membidas Hamzah yang mengkritik rasionalisasi subsidi diesel, dan menyifatkan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu sibuk mempertahankan golongan kaya dan warga asing.
“Kenapa dia sibuk mempertahankan golongan kaya dan orang luar? Adakah PN akan terus memberikan subsidi kepada golongan kaya dan orang luar (sekiranya berkuasa)?,” katanya.
Nnn
