Banyak sumbangan pembangunan jalan raya

KUALA LUMPUR 15 Sept. – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Dr S Samy Vellu yang meninggal dunia di kediamannya, di sini pagi ini.

Bekiau yang menyifatkan pemergian Samy Vellu sebagai kehilangan besar buat negara mengakui mendiang banyak menabur jasa dan bakti selama berkhidmat dalam kerajaan dan menerajui MIC.

Katanya, Samy Vellu adalah pemimpin hebat yang dianggap sebagai bapa penyatuan masyarakat India, khususnya ketika menjadi Presiden MIC.

Mendiang bukan sahaja berjaya menyatupadukan masyarakat India, tetapi adalah pemimpin yang memperjuangkan isu berkaitan terutama dari segi ekonomi golongan berkenaan.

Banyak sumbangan yang ditabur kepada negara dan masyarakat India seperti penubuhan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) dan Kolej TAFE yang membantu meningkatkan kehidupan masyarakat India di negara ini.

“Negara kehilangan pemimpin hebat dengan pemergian Tun Samy Vellu. Mendiang banyak berperanan dalam pembangunan rangkaian jalan raya dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kemuncak Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini, hari ini.

Terdahulu melalui Facebooknya, Perdana Menteri berkata, mantan Presiden MIC adalah bekas menteri Kabinet yang paling lama berkhidmat bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979-1989 dan 1995-2008. Mendiang juga menjadi Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos dari 1989-1995.

“Tun Samy Vellu merupakan pejuang dan bapa penyatuan masyarakat kaum India serta menjadi mentor kepada pemimpin MIC sepanjang dan selepas kepemimpinannya,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri mengunjungi kediaman mendiang bagi memberi penghormatan terakhir di sini, hari ini.

Turut kelihatan ialah Timbalan Presiden MIC,  M Saravanan dan Ahli Parlimen Baling, Azeez Abdul Rahim.

Saravanan berkata, negara kehilangan seorang tokoh yang banyak berjasa kepada negara dan masyarakat.

“Kita lihat sumbangannya sebagai Presiden MIC dan pemimpin masyarakat yang tidak boleh dibandingkan.

“Di bawah pimpinan mendiang, MIC memiliki aset seperti universiti bernilai kira-kira RM1 bilion dan ia antara usaha Tun Samy Vellu untuk masyarakat India tidak tercicir dalam arus pembangunan negara.

“Mendiang akan sentiasa diingati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Jasad mendiang akan diletakkan untuk kunjungan orang kenamaan dan orang awam bermula pukul 2 petang ini di rumahnya sebelum disemadikan di Pusat Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Jalan Kuari Cheras, jam 3 petang esok.

Related posts

Leave a Comment