“Sampai tua, bercucu belum diputuskan “

KUANTAN 5 Sept. – “Sampai tua sudah saya dan bercucu masih belum diputuskan,” titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung saranan baginda supaya hukuman diyat dikaji dan dilaksanakan.

Baginda bertitah pelaksanaan hukuman diyat (pampasan kepada keluarga mangsa yang terkesan dengan tindakan penjenayah) sudah dicadangkan oleh Baginda sejak lima hingga enam tahun lalu namun ia masih di peringkat kajian hingga kini.

“Sudah hampir lima hingga enam tahun saya mengemukakan cadangan ini tapi ia masih di peringkat kajian dan bincang (perbincangan).

“Sampai tua sudah saya dan bercucu masih belum diputuskan,” titah baginda ketika menyempurnakan majlis perasmian dan pemasyhuran Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang, Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah, di sini, hari ini.

Turut mencemar duli, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hukuman Diyat ialah harta yang wajib dibayar dan diberikan oleh penjenayah kepada wali atau waris mangsa sebagai ganti rugi disebabkan jenayah yang dilakukan oleh penjenayah ke atas mangsa.

Sementara itu, baginda juga meminta Mahkamah Syariah mengkaji supaya dapat melaksanakan hukuman berbentuk perkhidmatan kepada masyarakat bagi kesalahan yang tidak begitu besar dilakukan tertuduh.

Hukuman seperti itu menurut baginda tidak menampakkan adanya penindasan kepada mereka yang mempunyai kesalahan yang boleh diselesaikan secara budi bicara.

“Hakim perlu mendalami dan mengkaji supaya hukuman berbentuk perkhidmatan kemasyarakatan perlu diambil kira kerana kadang kala ada kesalahan tidak begitu besar,” titah baginda.

Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah bertitah, Mahkamah Syariah bukan sahaja mempunyai tanggungjawab kepada pihak yang dibicarakan, malah mempunyai tanggungjawab sosial kepada negara dalam aspek mempertahankan integriti mahkamah dan melindungi agama Islam.

Mahkamah Syariah perlu bijak menggunakan kuasa budi bicara dan sentiasa berlaku adil kepada semua pihak dalam menjatuhkan hukuman terutama membabitkan kes kekeluargaan.

“Prinsip keadilan menurut Islam adalah menjunjung amanah Tuhan dan bukannya mewakili kuasa Tuhan.

“Hakim syarie, pegawai mahkamah dan peguam syarie mempunyai tanggungjawab kepada pihak yang dibicarakan, tanggungjawab sosial kepada negara untuk mempertahankan integriti mahkamah dan tanggungjawab untuk melindungi agama suci Allah.

Justeru, Mahkamah Syariah hendaklah mempunyai kecekapan dalam mengendalikan kes supaya keadilan akan tercapai di mana Hakim Syarie juga hendaklah memastikan kes yang dikendalikan dapat dihakimi dengan seadil-adilnya dan penghakiman dapat dilaksanakan dengan segera.

Baginda juga mengharapkan supaya lebih banyak usaha dilaksanakan untuk meningkatkan institusi Mahkamah Syariah di Malaysia.

Related posts

Leave a Comment