Hukum, pengampunan tidak sewenang-wenang

KUANTAN 5 Sept. – Kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ia bakal dipertanggungjawabkan kelak pada hari kemudian.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, undang-undang yang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil akan menjurus kepada penindasan dan kezaliman dalam sistem pemerintahan.

“Ketidakadilan pelaksanaan undang-undang juga akan menyebabkan pihak yang lemah menjadi mangsa kepada pihak yang memiliki kuasa,” titah baginda pada majlis perasmian dan pemasyhuran Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang, Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah, di sini, hari ini.

Menurut baginda, keadilan tidak akan tercapai jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang sudah ternoda.

“Akibatnya, pihak yang lemah akan menjadi mangsa kepada pihak yang memiliki kuasa. Maka, titik permulaan menghalalkan penindasan dan kezaliman akan berlaku dalam sesuatu sistem pemerintahan.

“Keadilan tidak akan tercapai jika roh keadilan tidak terkandung dalam sanubari mereka yang diberikan amanah untuk mentadbir keadilan,” titah baginda.

Related posts

Leave a Comment