Najib wakil rakyat hingga keputusan pengampunan

KUALA LUMPUR 5 Sept. –  Status bekas Perdana Menteri, Najib Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan, kekal buat masa ini, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat,  Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata, kedudukan itu berikutan Najib yang sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun, telah memfailkan petisyen pengampunan pada Jumaat lalu, iaitu dalam tempoh 14 hari daripada tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan.

Justeru kuat kuasa kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen hanya akan dimuktamadkan apabila petisyen pengampunan yang difailkan 2 September lalu dibereskan atau ditolak.

“Ini bermakna status Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan pada masa ini tidak berubah dan akan hanya dimuktamadkan apabila petisyen pengampunan itu dibereskan,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib, yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Azhar Azizan berkata, mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, mana-mana Ahli Parlimen yang disabit atas kesalahan oleh mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara untuk tidak kurang daripada setahun atau didenda sebanyak kurang RM2,000, individu berkenaan akan hilang kelayakan sebagai seorang Ahli Parlimen.

Jelas beliau, kuat kuasa Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan adalah tertakluk kepada 48(4) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 53(2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut memaklumkan menerima serahan beberapa dokumen termasuk salinan permohonan pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan ke atas Najib, bertarikh 1 September.

Turut diterima ialah salinan surat daripada Tetuan Shafee & Co bertarikh sama, yang melampirkan permohonan pengampunan tersebut yang diaku terima oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri pada 2 September.

Azhar Azizan juga menerima salinan Perintah Jenayah termeterai masing-masing bagi kes rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan bertarikg 23 Ogos 2022.

Related posts

Leave a Comment