TAHUN ini tidak ada pergerakan balik ke kampung sempena cuti Hari Raya Aidilfitri. Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuh Raya Pantai Timur akan lebih tenang. Tiada jadual perjalanan, tiada kesesakan di tol Sungai Besi, Jalan Duta dan Gombak. Tiada rungutan kenderaan bergerak perlahan di kebanyakan lokasi.
Mungkin ini kali pertama pergerakan itu terhalang akibat wabak Covid-19. Maknanya bagi yang sering balik kampung menjenguk orang tua, mungkin ini tempoh paling lama tidak dapat pulang, apatah lagi pada hari raya. Bagi suami isteri yang sudah mengatur giliran berhari raya, tahun depan kena atur semula.
Seperti diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini dikenali Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sepatutnya berakhir esok (12 Mei) dilanjutkan selama empat minggu sehingga 9 Jun ini.
Ini bermakna, semua peraturan dan SOP yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuatkuasa termasuk pada Hari Raya Aidilfitri.
Langkah itu diambil atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.
“Minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan,” katanya dalam perutusan khas, menjelang dua minggu umat Islam dijadual menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Perdana Menteri memohon maaf kerana membuat satu keputusan amat berat yang mungkin sukar diterima tetapi terpaksa dilakukan demi keselamatan dan kesihatan rakyat.
Apa pun, kerajaan telah menunaikan ‘tanggungjawabnya’ bagi mengawal pergerakan balik kampung. Apa pula peranan kita? Masih berkira-kira membuat persiapan hari raya seperti tahun-tahun sebelumnya? Masih mahu merentas sempadan negeri atau bersedia menerima normal baharu berhari raya?
Tidak ada halangan untuk membuat persediaan ala kadar. Tetapi lupakan seketika amalan menukar yang lama kepada yang baharu. Elakkan keluar membeli belah dalam suasana yang melibatkan ramai orang. Keutamaan ketika ini adalah untuk persediaan makan minum bukannya pakaian, hiasan atau kelengkapan lain.
Sesuaikan sambutan hari raya dengan bagaimana kita berpuasa secara sederhana pada tahun ini. Kurang belanja membeli juadah akibat Bazar Ramadan ditutup. Lebih banyak duduk di rumah untuk ibadah atau membaca al-Quran. Menginsafi bahawa kita masih dapat berpuasa dengan baik walaupun ada ‘ancaman’ .
Kali ini kita berpuasa dengan amalan lebih kepada ibadat dan berhari raya pula sebagai tanda syukur masih dapat berpuasa walaupun wabak melanda.
Rasanya suasana ini lebih baik daripada wabak atau bencana yang akan menyulitkan kita berpuasa, contohnya kemarau teruk tanpa air, banjir besar, peperangan, tiada makanan atau bencana yang menghalang kita berpuasa atas sebab darurat. Hari ini walauoun ‘darurat’, kita mampu berpuasa dengan baik.
Rakyat Malaysia tidak ada pilihan. Jika sebulan mereka berpuasa dalam satu suasana di luar kebiasaan, kali ini hari raya juga di luar kebiasaan. Mungkin tidak ada solat Aidilfitri di masjid atau solat terhad. Tidak ada Rumah Terbuka, jika ada pun Rumah Terbuka Terhad.
Bagaimanapun kerajaan masih membenarkan ziarah menziarahi, kunjung mengunjung tetapi dalam jumlah terhad pada satu-satu masa, melibatkan jiran-jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama.
Bagaimanapun buatlah pertimbangan sewajarnya terhadap kelonggaran ini. Setiap keluarga perlu melihat risiko ‘ke sana ke sini ke sana ke sini’. Pergerakan ini mungkin melibatkan kanak-kanak dan warga emas yang lebih terdedah kepada penyakit.
Di sinilah peranan atau tanggungjawab yang harus diputuskan oleh setiap keluarga. Jangan ambil mudah atau lega dengan keizinan yang diberi. Ingat dalam perang Covid-19 ini kita tidak boleh melihat ‘musuh’ yang mungkin ada di mana-mana sahaja. Pembawanya pun mungkin tidak dapat dikesan.
Justeru jangan terlalu ghairah dengan keizinan ziarah menziarah. Biarlah apa jiran setaman akan bercakap, asalkan tujuan kita untuk menjaga kesihatan dan keselamatan semua. Kita jaga kita. Anak-anak jangan terlalu ghairah mahu mengutip duit raya apatah lagi ketika semua orang tidak balik kampung.
Setiap keluarga berhak membuat keputusan. Sambutlah hari raya ini dengan mematuhi SOP kesihatan seperti penjarakan sosial, pemakaian penutup mulut dan hidung, dan amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan hand sanitizer sepanjang sambutan perayaan ini.
Justeru, persiapan hari raya biar ala kadar kerana pintu rumah kita mungkin tertutup. Cukup ketupat lemang dan rendang serta sedikit kuih muih. Usah membazir. Masa untuk berjimat sambil menjaga diri daripada diserang musuh. Berhari rayalah sesama kita di rumah.
Jika masih mahu membuka pintu, berhati-hati supaya ‘musuh’ tidak menerjah masuk. Tambahlah ‘menu’ hari raya iaitu pembersih kuman dan penutup hidung dan mulut (hand sanitizer, mask) dan mungkin pengimbas suhu.
Semoga 10 Jun kita dapat berhari raya sekali lagi!