Belanjawan 2023 kekal 28 Okt.

ISKANDAR PUTERI 25 Ogos – Kementerian Kewangan mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa pembentangan Belanjawan 2023 kekal pada 28 Oktober seperti yang dijadual dalam kalendar Parlimen.

Timbalan Menteri Kewangan I,  Mohd Shahar Abdullah, berkata, beliau tiada maklumat Bajet 2023 akan disegerakan bulan depan.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatagani memorandum persefahaman (MoU) pembangunan Sukan Dron di Medini, di sini, hari ini.

Sebelum ini timbul spekulasi terdapat desakan supaya pembentangan Belanjawan 2023 disegerakan bulan hadapan bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disegerakan.

Pada 17 Ogos lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan hanya akan memohon pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15 selepas pembentangan Bajet 2023, yang dijadualkan pada 28 Oktober depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang),  Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dilaporkan menegaskan dakwaan dan spekulasi mengatakan Parlimen akan dibubarkan bulan depan, adalah tidak benar.

Pada 7 Ogos lalu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, dilaporkan menolak ramalan kononnya pembentangan Belanjawan 2023 akan dipercepatkan dan menyifatkan spekulasi yang tersebar sebagai tidak berasas.

“Dakwaan menyatakan Bajet 2023 akan dibawa ke hadapan hanya khabar angin semata-mata dan mengikut pengetahuan saya ia masih sama dengan kalendar Parlimen,” katanya.

Related posts

Leave a Comment