Singapura sedia dos penggalak kanak-kanak

SINGAPURA 25 Ogos –  Singapura dijangka memberi suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 jenis PfizerBioNTech/Comirnaty kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun pada suku keempat tahun ini.

Kementerian Kesihatan (MoH) memberitahu, pihaknya sudah menerima cadangan Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi Covid-19 (EC19V) yang mengesyorkan kanak-kanak dalam lingkungan umur itu layak menerima satu dos penggalak, selepas lima bulan lengkap suntikan dos pertama dan kedua.

“Langkah ini juga bagi mengukuhkan persediaan kami untuk berdepan gelombang jangkitan seterusnya,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Sains Kesihatan telah melanjutkan penggunaan vaksin jenis Moderna’s Spikevax Covid-19 melalui Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR) kepada kanak-kanak, termasuk bayi berumur enam bulan hingga 5 tahun.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, EC19V memaklumkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun disyorkan menerima vaksin PfizerBioNTech/Comirnaty kerana vaksin jenis itu memberikan perlindungan lebih kuat terhadap kemasukan ke hospital dan penyakit serius akibat Covid-19.

Vaksin penggalak Pfizer-BioNTech/Comirnaty telah terbukti meningkatkan ketahanan badan dua kali ganda selepas suntikan dua dos utama terhadap golongan ini, serta membantu mengekalkan tahap perlindungan menentang penyakit serius.

Menurut EC19V, kesan sampingan selepas menerima dos penggalak secara amnya adalah ringan, sama seperti dua dos pertama.

EC19V memaklumkan pihaknya telah membuat penilaian bahawa vaksin penggalak bermanfaat untuk perlindungan terhadap Covid-19 yang teruk buat kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Walaupun kanak-kanak dalam kumpulan ini berisiko rendah untuk menghidap penyakit Covid-19 yang teruk, sesetengah kanak-kanak masih dimasukkan ke hospital, dan menghidap penyakit yang mengancam nyawa serta memerlukan rawatan rapi atau berdepan komplikasi teruk seperti Sindrom Radang Berbilang Sistem (MIS-C).

Di Amerika Syarikat, sehingga Ogos 2022, kementerian memaklumkan lebih 1,000,000 dos penggalak telah diberikan dengan selamat kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di bawah saranan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS.

Related posts

Leave a Comment