AS sekali lagi hantar delegasi ke Taiwan

BELUM reda ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China susulan lawatan Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi, AS sekali lagi menghantar delegasi Kongres AS ke Taiwan untuk misi lawatan dua hari.

Delegasi itu diketuai Senator Ed Markey diiringi empat anggota kongres lain akan  bertemu dengan Presiden Tsai Ing-Wen.

Rombongan itu adalah kumpulan peringkat kedua tertinggi yang melawat Taiwan ketika ketegangan ketenteraan berterusan dengan China, dua minggu selepas lawatan Pelosi.

Kedutaan AS di Taipei memaklumkan, lawatan itu disifatkan sebagai sebahagian daripada lawatan terbesar ke rantau Indo-Pasifik.

Delegasi ini akan bertemu dengan pemimpin kanan Taiwan bagi membincangkan mengenai hubungan AS-Taiwan, keselamatan serantau, perdagangan dan pelaburan, rantaian bekalan global, perubahan iklim serta beberapa isu berkepentingan bersama.

Pemimpin lain yang turut serta dalam lawatan itu adalah John Garamendi dari kumpulan kerja kawalan senjata dan senjata nuklear serta Don Beyer.

Delegasi itu juga dijangka bertemu dengan pemimpin dan ahli sektor swasta bagi membincangkan hal kepentingan bersama termasuk mengurangkan ketegangan di selat Taiwan serta mengembangkan kerjasama ekonomi dalam pelaburan dan semikonduktor.

Kenyataan Pejabat Presiden Taiwan berkata, ketika China meningkatkan ketegangan di selat Taiwan dan rantau ini dengan menjalankan latihan ketenteraan, Markey yang memimpin delegasi ke Taiwan sekali lagi menunjukkan sokongan kukuh kongres AS terhadap Taiwan.

Jelasnya, dengan kehadiran penggubal undang-undang itu, Taiwan akan memperkasakan lagi sokongan AS  terhadap negara berkenaan berdasarkan akta hubungan Taiwan, penyataan bersama AS-China dan enam jaminan selain menggalakkan kestabilan serta keamanan di selat Taiwan.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara White House berkata, anggota kongres sudah mengadakan lawatan ke Taiwan sejak berdekad lalu dan akan terus berbuat demikian.

Ia menambah, lawatan itu sejajar dengan dasar satu China yang sudah lama wujud di AS.

Menerusi dasar itu, AS mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Beijing, bukannya Taiwan, namun Washington tidak mengambil pendirian sama ada Beijing memiliki kedaulatan ke atas Taiwan selain terikat di bawah undang-undang bagi menyediakan Taiwan dengan cara untuk mempertahankan dirinya.

Related posts

Leave a Comment