Seri Paduka lawat Turkiye

SEPANG 15 Ogos – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berangkat ke Turkiye bagi mengadakan lawatan negara selama tujuh hari.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada kira-kira pukul 10 pagi.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan isteri Muhaini Zainal Abidin hadir untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka berdua.

Sebelum berangkat, Seri Paduka berdua menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota dengan diiringi tembakan meriam 21 das dan lagu Negaraku.

Sementara itu Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata lawatan negara itu adalah atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Beliau berkata lawatan negara ke Turkiye telah dijadualkan pada tahun lepas, tetapi telah ditangguh berikutan penularan wabak Covid-19.

Lawatan negara ini juga yang pertama buat Seri Paduka Baginda berdua bagi tahun ini dan juga sejak bulan Ogos 2019.

Kali terakhir Seri Paduka berdua mengadakan lawatan negara ialah ke Indonesia selama empat hari, bermula pada 26 Ogos 2019.

“Ekoran daripada gelombang penularan wabak Covid-19 bermula pada awal tahun 2020, lawatan-lawatan negara yang telah dijadualkan pada tahun 2020 dan 2021 telah ditangguh,” katanya.

Ahmad Fadil berkata ketika di Turkiye, Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat mengadakan pertemuan dengan Erdogan di Istana Presiden, Ankara, dan Seri Paduka berdua turut dijadualkan berangkat menghadiri Majlis Jamuan Negara yang dianjurkan Erdogan di Istana Presiden, esok.

Pada Rabu, Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat melawat FNSS Defense Systems A.S di Ankara, manakala Raja Permaisuri dijadualkan berangkat melawat Muzium Goreme di Cappadocia.

Pada Khamis pula, Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat melawat Turkish Aerospace Industries, Ankara manakala Raja Permaisuri dijadualkan berangkat melawat Ankara Advance Technical Institute for Girls.

Pada hari yang sama, Seri Paduka Baginda berdua turut dijadualkan mengadakan lawatan ke Perpustakaan Islam Diyanet di Ankara sebelum berangkat ke Istanbul.

Seri Paduka berdua juga dijadualkan berangkat melawat Makam Abu Ayyub al-Ansari, Makam Sultan Abdul Hamid II, Masjid Besar Hagia Sophia dan Muzium Istana Topkapi di Istanbul Jumaat ini.

Pada sebelah malam pula, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat ke Majlis Santapan bersama diaspora Malaysia di Istanbul.

Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat melawat Istana Dolmabahce Sabtu ini.

Lawatan negara terakhir ke Turkiye oleh Yang di-Pertuan Agong ialah pada tahun 1992 yang ketika itu oleh Yang di-Pertuan Agong ke-9, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah.

Related posts

Leave a Comment