ROS lulus pindaan perlembagaan UMNO

KUALA LUMPUR 29 Julai – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) hari ini meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO yang diputuskan parti itu sebelum ini.

Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan berkata, kelulusan diberikan oleh ROS, selepas menilai segala dokumen berkaitan pindaan itu lebih 60 hari, akan berkuat kuasa hari ini.

“ROS bersetuju kepada pindaan Perlembagaan UMNO supaya pemilihan UMNO di semua peringkat diadakan tidak boleh lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen (Dewan Rakyat).

ROS juga meminta supaya satu pemilihan perlu diadakan dalam satu penggal PRU Parlimen (Dewan Rakyat),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi tujuan itu beliau berkata, UMNO diberi pilihan untuk mengadakan pemilihan partinya bagi penggal ini yang sudah ditangguhkan, tidak lewat daripada enam bulan selepas PRU ke-15 diadakan.

“UMNO merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada ROS dan semua pihak yang terbabit dalam meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO,” katanya.

Terdahulu, di SEREMBAN, Timbalan Presiden UMNO,  Mohamad Hasan,

ROS memberi keputusan secepat mungkin atau selewat-lewatnya Ahad ini, berhubung notis pindaan perlembagaan bagi menangguhkan pemilihan parti itu, untuk membolehkan UMNO membuat persiapan diperlukan.

Beliau berkata Ahmad Maslan sudah menulis surat kepada ROS pada hujung Jun lalu bagi meminta jasa baik ROS memberikan keputusan berkenaan perkara itu sebelum atau pada 31 Julai ini.

“Kita memerlukan keputusan sama ada ‘ya’ atau ‘tidak’ daripada ROS, hingga 31 Julai ini. Kita tidak mendesak apa-apa, namun jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’ itu penting kerana parti perlu membuat persiapan untuk mengadakan mesyuarat.

Jika tidak diluluskan, maka pemilihan perlu diadakan kerana tempoh penangguhan 18 bulan itu akan berakhir hujung tahun ini. UMNO adalah sebuah parti besar dengan 22,000 cawangan di seluruh negara, justeru bukan mudah untuk kita menggerakkan mesyuarat dalam masa sehari. Kita memerlukan masa.

Maknanya, kita memerlukan respons awal daripada ROS. Sama ada (notis) lulus ataupun tidak, itu terpulang kepada ROS,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung BN, Dr Zambry Abdul Kadir, dan Ahmad bersama pimpinan BN Negeri Sembilan.

Related posts

Leave a Comment