TOKYO – Data Kementerian Kesihatan Jepun menunjukkan jumlah penduduk Jepun yang berusia 100 tahun dan ke atas telah melepasi angka 100,000 buat kali pertama dalam sejarah negara itu.
Menurut data itu, Jepun kini mempunyai 107,677 warga berusia sekurang-kurangnya 100 tahun, dan daripada jumlah itu, kira-kira 88 peratus adalah wanita.
Wanita tertua di Jepun ialah Kishimoto Fuyo, 114, dari Bandar Kyoto, manakala lelaki tertua ialah Kato Hikaru, 112, dari Kumamoto.
Menteri Kesihatan Jepun, Kenichiro Ueno gembira melihat lebih ramai rakyat negara itu dapat menikmati kehidupan yang panjang, sihat dan aktif, hasil kemajuan dalam bidang perubatan dan teknologi.
Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan mengenai cabaran besar yang perlu ditangani kerajaan dalam memastikan sistem keselamatan sosial negara kekal mampan pada masa hadapan.
Pakar menyifatkan jangka hayat tinggi rakyat Jepun berpunca daripada beberapa faktor, termasuk pemakanan sihat dan gaya hidup aktif.
Diet tradisional negara itu banyak terdiri daripada ikan, sayur-sayuran dan nasi, selain kandungan lemak tepu yang lebih rendah berbanding kebanyakan diet Barat.
Golongan warga emas di Jepun juga masih aktif dengan berjalan kaki, menggunakan pengangkutan awam, berbasikal serta melakukan senaman regangan secara berkala.
Ketika ini, individu berusia 65 tahun dan ke atas mewakili kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan penduduk Jepun dan angka itu dijangka meningkat hampir 40 peratus menjelang 2070.
