RUU: Melaka, Negeri Sembilan sedia pinda

AYER KEROH 29 Julai – Melaka sedia untuk melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang diluluskan di Dewan Rakyat, semalam.

Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali, berkata RUU berkenaan akan dilaksanakan di negeri itu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“RUU berkenaan perlu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum dibincangkan di peringkat negeri.

Di peringkat negeri, kita akan diberikan satu tempoh untuk dibincangkan sebelum dilaksanakan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara peringkat negeri di Hotel Muzaffar, di sini hari ini.

Sementara itu, di SEREMBAN, Kerajaan Negeri Sembilan tiada masalah bagi meminda Undang-undang Tubuh Negeri bagi membolehkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, dikuat kuasa.

Menteri Besar, Aminuddin Harun, bagaimanapun berkata agenda pindaan itu, tidak sempat untuk dibawa pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang dijadualkan pada Ogos ini, memandangkan memerlukan masa 14 hari untuk menghantar notis kepada ADUN.

“Insya-Allah, kita akan bawa dalam persidangan selepas itu, mungkin dalam November ini. Kerajaan negeri tiada masalah, kita nampak semua menyokong. Kita meraikan keputusan (lulus RUU) tersebut yang akan memberi keyakinan kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

“Ia juga memberi harapan kepada rakyat, rakyat dah jemu, muak tak suka kita lompat (parti) sesuka hati tanpa berbincang dengan pengundi yang memilih mereka,” katanya selepas merasmikan Persidangan Saintifik Tahunan Persatuan Patologi Veterinar Malaysia Kali ke-13, hari ini.

Related posts

Leave a Comment