PUTRAJAYA 15 Jan. – Emraz Travel & Tours Sdn Bhd bersama dua pengarahnya didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas 63 pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membayar balik tuntutan wang berjumlah RM589,031 kepada 21 mangsa.
Syarikat pengendali pakej umrah itu diwakili dua pengarahnya iaitu Zulkarnain Endut, 43, dan Mazuin Mustafa, 43, yang juga suami isteri.
Sejurus pertuduhan dikemukakan, pasangan terbabit mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Irza Zulaikha Rohanuddin.
Mengikut pertuduhan, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd sebagai sebuah syarikat dengan Zulkarnain dan Mazuin, selaku orang kena saman (OKS) masing-masing berdepan 21 pertuduhan kerana gagal mematuhi award TTPM berkenaan.
Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat TTPM di Aras 5, Podium 2, No 13, Persiaran Perdana Presint 2, di sini, antara 8 Jun hingga 25 Ogos 2023.
Pendakwaan mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria, mencadangkan kedua-dua OKS masing-masing diikat jamin RM42,000 dengan seorang penjamin.
“Memandangkan OKS biasa ke luar negara, kita mohon pasport diserahkan kepada mahkamah.Selain itu, OKS perlu melaporkan diri di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) di Putrajaya setiap bulan.
“Kes ini berprofil tinggi, serius dan tak remeh walaupun hanya kes saman, ia membabitkan ratusan award dan kerugian ratusan ribu ringgit,” katanya.
Bagaimanapun, peguam bela ketiga-tiga OKS, Hanif Hassan, membantah sebarang jaminan dikenakan kerana tiada keperluan, namun bersetuju dengan syarat tambahan iaitu pasport diserah pada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat KDN.
“Dalam masa setahun, OKS ada membuat bayaran tuntutan tetapi tidak secara keseluruhan. Nampak usaha mereka untuk selesaikan, namun pada Julai lalu, lesen syarikat digantung.
“Sekurang-kurangnya mereka berusaha membuat bayaran, kena lihat situasi menang-menang,” katanya.
Majistret kemudian membenarkan jaminan RM6,300 terhadap kedua-dua pengarah itu dan syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan. Sebutan semua kes ditetapkan 26 Februari ini.
Sebelum ini, lesen Emraz Travel & Tours Sdn Bhd digantung selama enam bulan berkuat kuasa hingga 9 Januari lalu.
Lembaga Tabung Haji (TH) pula pada 2 April lalu menggantung lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) Emraz Travel & Tours sebagai langkah awal untuk melindungi kebajikan bakal jemaah haji susulan aduan awam berkenaan perkhidmatan umrah yang ditawarkan syarikat terbabit.
