Bersatu pertahan ahli tidak bahas

KUALA LUMPUR 28 Julai – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tampil mempertahankan Ahli-Ahli Parlimen mereka yang tidak membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti di Dewan Rakyat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sembilan Ahli Parlimen Bersatu yang tidak menganggotai pentadbiran kerajaan, sebenarnya , mahu terlibat dalam perbahasan tersebut tetapi diminta untuk tidak berbuat demikian.

“Saya mohon kepada mereka supaya bersabar kerana apa yang dikatakan kepada kami ada sesetengah, seolah-olah menggunakan analogi nama bukan-bukan.

“Tetapi hari ini percayalah bahawa daripada semua yang hadir termasuk Ahli Parlimen Bersatu kami mengundi kerana menunjukkan kami adalah kumpulan yang tahu akan undang-undang dan tahu menggunakan segala apa undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Saya berani bercakap di luar Dewan Rakyat sebab saya tidak boleh bercakap dalam Dewan Rakyat, saya menteri… (begitu juga) dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan ramai daripada kami ini frontbench. Ini yang menjadi masalah kepada kita,” katanya dalam sidang akhbar sejurus RUU diluluskan di Parlimen hari ini.

Menjawab pertanyaan wartawan mengapa Presiden Bersatu, Tan Sei Muhyiddin Yassin tidak berbahas mewakili parti, Hamzah berkata: “Dia Presiden parti, dan anda mesti ingat biasanya yang berbicara mengenai perkara ini (perbahasan) adalah mereka yang daripada backbench.”

Walaupun tidak mengambil bahagian berbahas, Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Beaufort) turut beberapa kali bangun mencelah termasuk ketika ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil bahagian.

Hamzah dalam masa yang sama berharap tidak ada mana-mana pihak mempersoalkan dari parti mana asal seseorang Ahli Dewan Rakyat itu.

Semasa sesi perbahasan, sejumlah 54 Ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik mengambil bahagian dalam perbahasan itu, termasuk BN, Pas, PKR, DAP, Amanah,  Pejuang, Muda, Gabungan Parti Sarawak, UPKO, PSB, PBM dan Bebas.

Sembilan anggota Parlimen Bersatu yang tidak menganggotai Kabinet adalah Muhyiddin Yassin (Pagoh), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Mohd Redzuan Md Yusof (Alor Gajah).

Selain itu, Zakaria Mohd Edris (Libaran), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Abd Rahim Bakri (Kudat), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor) dan Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu).

Related posts

Leave a Comment