Thailand catat 110 kes baharu

BANGKOK 26 Dis. – Thailand merekodkan 110 kes baharu melibatkan 64 kes jangkitan tempatan, 30 pekerja asing dan 16 kes import iaitu mereka yang dikuarantin sejurus tiba dari luar negara.

Kes pekerja asing itu .dikaitkan dengan pasar makanan laut dan ini menjadikan keseluruhan kes di negara itu sebanyak 6,020 dengan jumlah kematian kekal 60.

Daripada 6,020 kes, sebanyak 4,152 atau 69 peratus pesakit sembuh termasuk 15 yang dibenarkan keluar dari hospital, manakala 1,808 masih di hospital.

Kes import pula melibatkan ketibaan dari negara Rusia (4), Amerika Syarikat (3), Myanmar (2), India (1), Arab Saudi (1), Turkey (1), United Kingdom (1), Mozambique (1), Jerman(1) dan Perancis (1). di mana 11 adalah warga Thailand.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata, setakat ini terdapat 1,338 pekerja migran diuji positif Covid-19 dan kebanyakan mereka tidak menunjukkan sebarang gejala.

Katanya, wabak terbaru yang dikaitkan dengan pasar makanan laut di wilayah barat daya Samut Sakhon itu telah merebak ke 33 wilayah di Thailand.

Beliau berkata pihak berkuasa kesihatan awam sedang mempertingkatkan pengesanan kes aktif untuk membendung penularan virus maut itu.

Kes indeks di pasar makanan laut itu dipercayai penjual udang berusia 67 tahun yang diuji positif Covid-19 minggu lepas.

Berikutan itu kerajaan Thailand segera menguatkuasakan sekatan pergerakan dan perintah berkurung di Samut Sakhon sehingga 3 Januari 2021?

Kerajaan juga mengumumkan lapan langkah pencegahan tambahan di bawah dekri darurat termasuk pengharaman perhimpunan besar-besaran, pergerakan terhad pekerja migran dan orang awam dilarang memasuki kawasan berisiko tinggi Covid-19.

Pengumuman itu yang diterbitkan dalam Royal Gazette, berkata gabenor wilayah diberi kuasa untuk menutup kawasan berisiko jangkitan Covid-19 dan semua langkah oleh pentadbiran wilayah mestilah selari dengan arahan yang dikeluarkan perdana menteri dan CCSA.

Related posts

Leave a Comment