RUU antilompat parti catat sejarah

KUALA LUMPUR 28 Julai – Dewan Rakyat hari ini mencatat sejarah apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

Undi belah bahagian yang dimulakan pada pukul 4.49 petang menyaksikan seramai 209 Ahli Parlimen menyokong, tiada yang membangkang manakala 11 lagi anggota Parlimen tidak hadir.

“Inilah keputusannya, syabas kepada semua Yang Berhormat yang mencipta sejarah hari ini,” kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun.

RUU yang digubal berasaskan lapan parameter utama itu belah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob semalam.

Ia diluluskan selepas dibahas selama dua hari oleh 54 Ahli Parlimen mewakili pihak kerajaan dan blok pembangkang tanpa disertai mana-mana wakil rakyat Bersatu yang kebanyakannya adalah mereka yang keluar dari parti asal.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin menjelaskan , ada dalam kalangan anggota Bersatu mahu bercakap tetapi beliau meminta mereka bersabar berikutan ucapan serta analogi yang dilontarkan terhadap mereka yang bertukar parti.

Untuk rekod sepanjang sesi perbahasan itu, kebanyakan Ahli Parlimen terutama blok pembangkang daripada Pakatan Harapan (PH) membangkitkan isu Langkah Sheraton yang didakwa menjadi punca ketidakstabilan politik negara.

Mereka turut mendakwa pengkhianatan mandat rakyat itu antara punca jumlah keluar mengundi rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini kerana pengundi rasa tertipu akibat tindakan katak politik.

RUU berkenaan memperuntukkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti, baik dalam gabungan sama atau berbeza akan kehilangan kerusi Parlimen disandang.

Ahli Dewan Rakyat yang meninggalkan parti politiknya selepas menang pilihan raya untuk menjadi wakil rakyat Bebas juga perlu mengosongkan kerusi disandang.

RUU itu turut memperuntukkan beberapa pengecualian kepada wakil rakyat yang bertukar parti, antaranya Ahli Dewan Rakyat dipecat daripada partinya tidak perlu mengosongkan kerusi Parlimen disandang.

Pengecualian itu turut diberikan kepada mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pada masa sama, RUU itu turut menyediakan peruntukan sama untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan memasukkan seksyen baharu 7A ke dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ketika sesi penggulungan bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen bahawa RUU itu bukan penyelesaian mutlak.

“Saya bersetuju ada Ahli Parlimen mengatakan RUU ini bukan penyelesaian 100 peratus kepada semua masalah kita, tetapi sebagai langkah pertama,” katanya.

Sementara itu, beberapa Ahli Parlimen turut membangkitkan mengenai wakil rakyat Bebas atau yang menganggotai parti tertentu, namun bertanding atas logo pihak lain.

Dalam hal ini , Wan Junaidi menjelaskan, wakil rakyat berkenaan tidak dianggap melompat parti jika kembali sebagai ahli partinya atau kekal sebagai Bebas selepas menang pilihan raya, walaupun bertanding menggunakan logo pihak lain.

Berhubung pemecatan wakil rakyat daripada partinya kerana bertindak bertentangan pendirian parti dalam Dewan Rakyat, beliau memaklumkan RUU itu tidak memerlukan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipecat untuk mengosongkan kerusi.

“Mereka hanya perlu mengosongkan kerusi disandang sekiranya termaktub dalam perlembagaan parti, bahawa wakil rakyat itu perlu berbuat demikian sekiranya bertindak melanggar keputusan dan pendirian parti,” katanya.

Related posts

Leave a Comment