Sasaran kuat kuasa minggu pertama Sept.

KUALA LUMPUR 28 Julai – Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, dijangka boleh mula berkuat kuasa pada minggu pertama September tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU itu akan dibentangkan di Dewan Negara untuk bacaan kali pertama pada 9 Ogos ini.

“Tadi (ketika perbahasan) ada Ahli Parlimen sebut 1 September akan berkuat kuasa. Itu kurang tepat, yang betulnya kita harap RUU ini mula berkuat kuasa pada minggu pertama September,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Dewan Rakyat hari ini mencatat sejarah apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

Perbahasan RUU berkenaan dibuat selama dua hari bermula semalam, membabitkan 54 Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang dengan peruntukan masa selama 600 minit.

RUU yang digubal berasaskan lapan parameter utama itu diluluskan menerusi undi belah bahagian selepas dibentangkan oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob semalam.

Undi belah bahagian yang dimulakan pada jam 4.49 petang menyaksikan seramai 209 Ahli Parlimen menyokong, tiada yang membangkang dan 11 tidak hadir.

RUU berkenaan memperuntukkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti, baik dalam gabungan sama atau berbeza akan kehilangan kerusi Parlimen disandang.

Ahli Dewan Rakyat yang meninggalkan parti politiknya selepas menang pilihan raya untuk menjadi wakil rakyat Bebas juga perlu mengosongkan kerusi disandang.

RUU itu turut memperuntukkan beberapa pengecualian kepada wakil rakyat yang bertukar parti, antaranya Ahli Dewan Rakyat dipecat daripada partinya tidak perlu mengosongkan kerusi Parlimen disandang.

Pengecualian itu turut diberikan kepada mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Related posts

Leave a Comment