Hasilkan vaksin sendiri

KUALA SELANGOR 23 Julai – Hasilkan vaksin sendiri ! Itu cabaran Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kepada Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.

Titah baginda, di samping menyediakan perkhidmatan perubatan sedia ada. hospital itu perlu menghasilkan perubatan yang boleh menaikkan nama dan memberi manfaat kepada masyarakat.

“Beta ingin cabar pihak pengurusan (hospital) supaya menghasilkan perubatan tersendiri atau vaksin sendiri untuk hadapi cabaran akan datang.

Bukan hanya sekadar kita kenal dengan perkhidmatan sedia ada, tetapi lebih baik menghasilkan perubatan yang boleh menaikkan nama untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

Beta berharap perjalanan dan urusan hospital, menjadi antara yang terbaik di Selangor dan negara ini,” titah baginda ketika berkenaan merasmikan hospital itu di Puncak Alam, di sini, hari ini.

Turut berangkat pada majlis perasmian itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Yang di-Pertuan Agong, yang juga Canselor UiTM bertitah, baginda terharu dan berbangga kerana hospital itu dinamakan atas namanya.

Baginda bertitah, selain Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM, sebuah masjid di Melaka turut dinamakan atas namanya.

“Beta berharap walaupun hospital ini jauh di mata, ia sentiasa dekat di hati. Juga, perkhidmatan hospital akan terus ditingkatkan dari semasa ke semasa supaya namanya akan lebih akan menyerlah dan terus memberi kesan yang baik kepada masyarakat setempat,” titah baginda.

Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM sebelum ini dikenali sebagai Hospital UiTM Puncak Alam, berkeluasan 18.4 hektar (46 ekar), siap dibina pada 2020 dan mula beroperasi pada 5 April 2021.

Reka bentuk bangunan ini berinspirasikan elemen molekul air zam-zam, dan menjadi mercu tanda baharu UiTM, dengan menawarkan perkhidmatan rawatan dan kesihatan kepada hampir 1.5 juta rakyat di Selangor dan Perak Selatan.

Related posts

Leave a Comment