SEPANG 23 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak kolumnis, Andrew Sia, memohon maaf secara terbuka berhubung penulisannya yang mendakwa Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai ‘Akademi Apartheid’.
Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh juga mendesak Malaysiakini untuk menurunkan artikel itu yang jelas mengguris hati orang Melayu, khususnya mereka yang pernah menuntut ilmu di institusi pendidikan berkenaan.
Berikutan tulisan yang disifatkan keceluparan yang wajib diajar, Pemuda UMNO seluruh negara akan digerakkan untuk membuat laporan polis, hari ini, berhubung penulisan yang dianggap dangkal dan bersifat perkauman itu.
“Saya jelik dengan pemikiran yang kononnya berpaksikan kepada kebebasan bersuara yang semakin galak meracuni perpaduan kita,” kata Exco Kerajaan Negeri Melaka itu dalam satu kenyataan melalui Facebooknya.
Dr Akmal berkata, berdasarkan ulasan penulis, UiTM digambarkan sebagai sebuah legasi sifat perkauman Melayu yang benci dan zalim kepada kaum lain.
“Kita sedia maklum, Apartheid ini merupakan suatu dasar segregasi kaum yang begitu zalim yakni memuliakan kaum orang putih berbanding orang kulit hitam di Afrika Selatan.
Ianya adalah dasar kejam yang dibenci semua orang termasuklah oleh UMNO dan seluruh orang Melayu. Apabila tuduhan keji seperti ini dilemparkan kepada Institusi pendidikan kami, apakah tidak boleh hati kami terbakar?,” katanya.
Beliau berkata, seluruh orang Melayu faham dan hafal sejarah UiTM yang dibina untuk melonjakkan taraf pendidikan dan penguasaan bidang oleh orang Melayu dan Bumiputera.
Katanya, institusi ini dibangunkan bukan untuk menindas kaum lain tetapi hanyalah untuk membela Bumiputera yang ketinggalan di dalam negara sendiri atas semangat di belakang Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Adakah UiTM simbol penindasan kepada kaum lain? Kerajaan Malaysia yang majoritinya orang Melayu tetap membenarkan pendidikan ‘tanah asal’ seperti di SJK(C) dan di SJK(T), dan disokong melalui peruntukan kerajaan.
Siapa yang sejak awal membelah perpaduan melalui pendidikan? Itupun kita terima dengan berlapang dada sebab kita tahu kepentingan membela hak budaya. Belum dikira sekolah menengah Cina persendirian yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan,” katanya.
Beliau berkata, UiTM sahaja medan pendidikan Bumiputera yang ada manakala IPT lain semua terbuka buat semua kaum..
“Apabila wujud desakan untuk menghilangkan semangat UiTM ini, memang kami sensitif dan berhati-hati. Bangsa Melayu adalah bangsa yang pemaaf dan terbuka, tapi kalau hari-hari dihina sebegini, mengapa masih terkejut apabila kami susah menerima cadangan keterbukaan biarpun hanya sedikit,” katanya.
Kepada orang Melayu yang tidak terbakar jiwa membaca tuduhan Akademi Apartheid ini, beliau berkata “tepuklah dada dan carilah di mana hilangnya jatidiri anda”.
Nnn
