PM Thailand terselamat undi tidak percaya

BANGKOK 23 Julai – Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha dan 10 anggota Kabinetnya terselamat daripada undi tidak percaya di Parlimen, ujian terbesar kerajaan menjelang pilihan raya umum (PRU) dalam tempoh 11 bulan.

Prayuth, 68 yang memegang tampuk kerajaan sejak rampasan kuasa dipimpinnya pada 2014, menerima 256 undi percaya berbanding 206 yang menentangnya, sekali gus mengekalkan kedudukannya sehingga tamat tempoh pada Mac tahun depan.

Pembangkang memerlukan 239 daripada 477 undi Parlimen untuk menjatuhkan Perdana Menteri yang juga bekas ketua tentera itu.

Terdahulu, Perdana Menteri dan anggota Kabinetnya berdepan sesi perbahasan ‘panas’ oleh pembangkang yang disiarkan secara langsung, menuduh mereka terbabit dalam rasuah dan salah tabir ekonomi, dalam usaha mereka menjatuhkan gabungan 17 parti pemerintah sebelum PRU diadakan.

Usul undi tidak percaya itu adalah kali keempat diadakan terhadap kepemimpinan Prayuth sejak beliau dipilih oleh Parlimen dan kekal sebagai Perdana Menteri pada 2019.

Menurut penganalisis politik, biarpun tinjauan pendapat yang diadakan baru-baru ini menunjukkan popularitinya semakin menurun, Prayuth dijangka mengekalkan pentadbirannya.

Related posts

Leave a Comment