Dr Santhara Kumar masih bersama Bersatu

KUALA LUMPUR 23 Julai – Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya, Dr Santhara Kumar masih bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan akan terus menyokong Presiden Parti Bersatu, Muhyidin Yassin.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, laporan yang mendakwa Ahli Parlimen Segamat itu sudah menyerahkan surat untuk keluar daripada parti adalah tidak benar.

“Saya baru bercakap dengan Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr Santhara Kumar dan beliau menjelaskan bahawa hanya berhajat melepaskan jawatan sebagai Ketua Sayap Bersekutu.

Itu kandungan surat yang beliau hantar. Bukan untuk keluar parti,” katanya.

Wan Saiful berkata, permintaan Santhara akan dipertimbangkan oleh pimpinan atasan parti dengan sebaiknya.

Terdahulu, di LARUT Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin menyifatkan tindakan keluar daripada Bersatu tidak akan memberi kesan kepada parti itu.

Katanya, kekuatan parti tidak terletak pada individu, sebaliknya kepada keseluruhan ahli.

“Sebenarnya, ahli-ahli keseluruhan yang menentukan masa depan, bukan seorang Ahli Parlimen yang tentunya adalah perjuangan yang dibawa oleh semua ahli-ahli parti itu lebih mustahak.

Ahli Parlimen kadang-kadang dia hanya mempunyai sikap untuk kepentingan individu sahaja manakala ahli-ahli yang menentukan bahawa perjuangan parti, ideologi parti, segala apa yang dilakukan adalah untuk masa depan agama, bangsa dan negara,” katanya selepas sesi townhall sempena program jelajah Kita Demi Negara di Astaka Batu Kurau, Perak.

Pada Jumaat, media melaporkan, Santhara sudah menyerahkan surat menyatakan hasratnya itu kepada Hamzah minggu lalu.

Related posts

Leave a Comment