Kes harian Malaysia meningkat

PUTRAJAYA 23 Feb. – Jumlah kes jangkitan Covid-19 di negara ini meningkat semula semalam apabila merekodkan 27,179  kes baharu berbanding 25,099 kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan 3,273,958 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 27,059 adalah kes tempatan dan 120 kes import.

Katanya, sebanyak 99.37 peratus atau 27,007 kes adalah pesakit Covid-19 dalam kategori 1 dan 2 iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan dan selebihnya 172 kes bersamaan 0.63 peratus adalah kategori 3, 4 dan 5.

Daripada jumlah itu, 51 kes belum divaksinasi, 91 kes sudah menerima dua dos vaksin, 30 kes sudah menerima dos penggalak, 67 kes berumur 60 tahun ke atas, 93 kes mempunyai komorbid dan enam kes ibu mengandung.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan sembilan kluster baharu menjadikan jumlah kluster yang masih aktif di negara ini sebanyak 505.

Sementara itu, jumlah kes sembuh pula adalah sebanyak 19,037, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 2,974,441 kes.

Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 286, manakala kes memerlukan bantuan pernafasan sebanyak 180 kes.

Related posts

Leave a Comment