PRU : Pendirian solo BN boleh berubah

ALOR SETAR 23 Julai – Pendirian Barisan Nasional (BN) untuk bersendirian menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) setakat hari ini masih kekal tetapi keadaan boleh berubah mengikut situasi semasa.

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan berkata, keadaan itu boleh berlaku berikutan dinamik politik sering berubah-ubah.

“Pada ketika ini parti sudah buat keputusan BN akan bergerak solo. Itu setakat hari inilah sebab politik ini kadang-kadang ia tidak statik. Jadi ini belum kita putuskan lagi.

Boleh jadi esok, ada pula pandangan kita macam lain dan kita akan ubah suai mengikut situasi, yang pentingnya kita nak menang. Bagaimana nak menang? Menerusi strategi dan taktikal kita,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan jentera pilihan raya dan pimpinan Bahagian UMNO Kedah di sini, hari ini.

Mohamad berkata, bagi menghadapi sebarang kemungkinan, UMNO kini sedang membuat penilaian kedudukan parti di setiap negeri bagi memantau tahap persediaan jentera BN menerusi siri jelajah sehingga pertengahan bulan depan.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat laporan dalam parti terlebih dulu sebelum kajian kedudukan setiap negeri diperhalusi.

“Apa yang perlu kita buat di setiap negeri dan pendekatan berbeza-beza sebab politik sekarang tak boleh macam dulu lagi. Contohnya di Kedah, sekejap Pas menang, sekejap BN menang, susah nak cakap.

“Namun daripada pengamatan saya, jentera dan gerak kerja parti kemukakan strategi yang meyakinkan, namun kita perlu berhati-hatilah elak tersilap langkah,” katanya.

Mohamad berkata, laporan setiap UMNO Bahagian akan dibentangkan kepada Perdana Menteri untuk memastikan sama ada UMNO sudah bersedia atau sebaliknya untuk menghadapi PRU-15.

“Ramai orang kata mahu adakan PRU-15, tetapi adakah parti sudah bersedia. Inilah laporan yang akan menyatakan kesediaan parti, supaya kita jangan tersalah langkah,”  katanya.

Related posts

Leave a Comment