Rajapaksa letak jawatan Presiden Sri Lanka

COLOMBO 15 Julai – Speaker Parlimen Sri Lanka Mahinda Yapa Abeywardana hari ini mengumumkan sudah menerima peletakan jawatan Presiden Gotabaya Rajapaksa selepas beliau melarikan diri dari negara ini.

Menurut Abeywardana, pihaknya memperoleh notifikasi untuk meletak jawatan daripada Rajapaksa yang kini berada Singapura.

Berikutan perkembangan ini, pencalonan untuk jawatan Presiden baharu itu akan dibuat Selasa ini dan Ahli Parlimen akan mengundi memilih pengganti Rajapaksa pada hari berikutnya, Rabu.

Rajapaksa – yang pernah dikenali sebagai ‘The Terminator’ atas tindakan kerasnya terhadap kumpulan pemberontak Tamil sebelum ini – adalah pemimpin Sri Lanka yang pertama mengundurkan diri sejak ia melaksanakan pentadbiran Presiden Eksekutif pada 1978.

Beliau menghantar notifikasi berkenaan melalui e-mel dari Singapura selepas terbang ke negara itu dari Maldives. Sebelum itu, Rajapaksa melarikan diri ke Maldives setelah penunjuk perasaan menyerbu istananya pada hujung minggu lalu.

“Beliau telah meletakkan jawatan secara sah, berkuat kuasa Khamis (semalam). Saya menerima peletakan jawatan itu,” kata Abeywardana kepada pemberita.

Di bawah Perlembagaan Sri Lanka, Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe – yang turut dituntut oleh penunjuk perasaan supaya meletak jawatan – akan secara automatik menjadi Pemangku Presiden hinggalah Parlimen berjaya memilih seorang Ahli Parlimen bagi menggantikan Rajapaksa untuk baki penggal pentadbiran kini.

Abeywardana memaklumkan bahawa badan perundangan itu akan dipanggil bersidang, esok, sambil berharap proses pilihan raya dapat diselesaikan dalam tempoh tujuh hari.

Rajapaksa akhirnya meletakkan jawatan selepas menghadapi bantahan penunjuk perasaan yang berlarutan selama berbulan-bulan. Beliau didakwa gagal menguruskan ekonomi Sri Landa sehingga memberi kesan teruk terhadap kehidupan 22 juta rakyatnya.

Perkembangan itu diraikan ratusan orang yang berkumpul di pusat gerakan bantahan, manakala ramai penunjuk perasaan pula dalam keadaan keletihan selepas berdepan konfrontasi dengan pasukan keselamatan selama berhari-hari.

Rajapaksa bersama isterinya, Ioma, dan dua pengawal peribadi mereka tiba di Singapura dengan menaiki penerbangan dari Maldives.

Related posts

Leave a Comment